KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menggesa rakyat Sabah memberikan sokongan padu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor susulan pembentukan Kabinet Baharu di bawah Kerajaan Perpaduan Sabah yang disifatkan sebagai langkah penting memastikan kestabilan dan kesinambungan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kerajaan yang baru dibentuk itu perlu diberikan ruang untuk bekerja tanpa diganggu sebarang percaturan politik yang boleh menjejaskan tumpuan pentadbiran.
Menurut beliau, pembentukan kabinet ini bukan sekadar rombakan, sebaliknya satu isyarat jelas bahawa Sabah memerlukan pentadbiran stabil, tersusun dan berorientasikan keputusan.
“Rakyat mahukan kerajaan yang tegas, jelas dan berani mempertahankan kepentingan Sabah. Kabinet kali ini membawa mesej bahawa pentadbiran mesti bergerak secara serius dan fokus,” katanya.
Hj Yazid menegaskan setiap menteri perlu menunjukkan disiplin tinggi serta bekerja mengikut keutamaan rakyat.
“Menteri yang diberi amanah wajib membuktikan kemampuan. Rakyat mahu keputusan cepat, dasar jelas dan tindakan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka,” katanya.
Beliau menambah bahawa Sabah tidak boleh lagi terperangkap dalam kelewatan, dasar longgar atau pentadbiran yang kabur, terutama ketika masyarakat luar bandar — termasuk Bingkor — masih berdepan cabaran ketara.
Katanya, ketegasan dan kesabaran Hajiji dalam menguruskan politik negeri adalah bukti kepimpinan berprinsip yang telah merapatkan jurang politik dan mengekalkan kestabilan negeri.
“Ini kepimpinan yang konsisten. Langkah penyatuan ini perlu diteruskan tanpa kompromi,” ujarnya.
Hj Yazid menekankan bahawa setiap anggota kabinet mesti memikul amanah dengan integriti serta mengutamakan pelaksanaan, bukan retorik.
“Kementerian mesti menunjukkan peningkatan jelas daripada perancangan hingga ke tindakan di lapangan. Rakyat mahu melihat perubahan, bukan sekadar mendengar janji,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan memberi perhatian lebih serius terhadap isu kebajikan rakyat, pembangunan luar bandar serta peluang ekonomi khususnya untuk golongan muda.
Dalam masa sama, Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyatakan komitmen untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam program kebajikan dan pembangunan sosial.
“Kebajikan rakyat adalah amanah besar. Kami sedia membantu menjayakan apa saja usaha yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Hj Yazid turut memberi peringatan bahawa kabinet baharu bukan sekadar senarai nama, sebaliknya amanah berat untuk membina masa depan negeri.
“Rakyat memerhati dan menilai melalui hasil. Kabinet ini perlu bekerja dengan tegas, cekap dan jujur. Sabah memerlukan tindakan, bukan penampilan,” tegasnya.-pr/BNN





