BN amal politik wang pada PRU14-Zainal

0
Zainal (tengah) memperlihatkan laporan polis tersebut-Pix IW
Zainal (tengah) memperlihatkan laporan polis tersebut-Pix IW
PAPAR: Parti Warisan Sabah Bahagian Kimanis mendakwa calon Nasional (BN) di kawasan ini mengamalkan politinik wang ketika kempen pilihanraya umum (PRU14) khususnya di hari pembuangan undi 9 Mei lalu.
Salah laku yang jelas melanggar peraturan itu menyebabkan Warisan kalah tipis walaupun pada awalnya dijangka menang majoriti besar hasil sokongan tidak berbelah bahagi masyarakat terhadap calon parti berkenaan.
Berikutan itu, Warisan Bahagian Kimanis diketuai Pengarah Strategiknya, Zainal Matali membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar supaya tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai bukti dan saksi bagi menyokong dakwaan berkenaan terutamanya daripada pengundi yang mengakui menerima wang daripada agen-agen BN sebagai imbalan mengundi parti itu.
“Pihak kami mendapati terdapat unsur rasuah dan penipuan sepanjang kempen khususnya semasa hari pembuangan undi PRU14 di kawasan Kimanis, Bongawan dan Membakut oleh calon BN,” katanya.
“Laporan polis juga sudah banyak dibuat pengundi di kawasan terbabit bahawa calon BN melalui agen-agen mereka telah ‘membeli’ undi supaya mereka mengundi calon BN pada 9 Mei (hari pembuangan undi).”
“Terdapat juga beberapa penipuan lainnya selain isu rasuah yang dilihat amat besar hingga menyebabkan calon Warisan kalah tipis iaitu hanya 156 undi,” tegasnya ketika ditemui di IPD Papar, di sini, kelmarin.
Seramai 150 ahli Warisan Bahagian Kimanis turut hadir untuk memberikan sokongan.
Dalam pada itu, Zainal berkata, pihaknya turut membuat laporan polis terhadap petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwanya berat sebelah dan cuba melakukan penipuan semasa hari pembuangan undi.
Katanya, dakwaan itu dibuat ekoran keengganan petugas SPR di sebahagian besar lokasi saluran pengundian untuk menandatangani Borang 14 yang diserahkan petugas pengiraan (PACA) parti Warisan.
“Sedangkan Borang 14 sepatutnya ditandatangani oleh petugas SPR sebagaimana termaktub dalam peraturan SPR sebagai bukti kiraan undi sudah dimuktamadkan oleh kedua belah pihak (PACA Warisan dan SPR).”
   “Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya hingga menimbulkan syak wasangka kami bahawa pihak SPR selain berat sebelah, cuba melakukan penipuan bagi pengiraan undi,” tegasnya.
“Selain itu, kami mempunyai bukti juga di mana calon Barisan Nasional (BN) memasuki dewan pusat pengiraan utama sebanyak dua kali untuk menemui jentera SPR sebelum keputusan diumumkan yang tidak berapa lama kemudian memihak kepadanya (BN)” tambah beliau.
Beliau berkata, sedangkan keputusan tidak rasmi sebelum ini jelas menunjukkan calon Parti Warisan sudah mendahului calon BN, namun apa yang berlaku sebaliknya amat mencurigakan.
Untuk rekod, calon BN Datuk Seri Anifah Aman berjaya meraih 11,942 undi mengalahkan calon Warisan, Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 dengan majoriti 156 undi. -BNN