Fransisca Juingki Johan Sugandoi Kaamatan 2018

0
185
Fransisca (tengah) diapit oleh Evana (kiri) dan Gretchene.-Pix EJJ
Fransisca (tengah) diapit oleh Evana (kiri) dan Gretchene.-Pix EJJ
KOTA KINABALU: Menepati ramalan ramai, Fransisca Juingki dinobatkan sebagai johan Sugandoi 2018.
Melantunkan lagu Kakal poinggirot  (Gideon Hilarius) dan Poingompiku (Rosario Bianis), gadis Dusun Labuk berasal dari Kg. Kuala Sapi, Beluran ini merupakan satu-satunya peserta yang mendapat “standing ovation” penonton yang berada dalam Dewan KDCA.
Tidak hairanlah Fransisca menang besar pada final Pertandingan Sugandoi Kaamatan yang berlangsung malam Sabtu.
Selain menjadi johan, Fransisca turut menggondol Anugerah Persembahan Terbaik dan menerima undian tertinggi daripada penonton sekaligus memenangi Anugerah bagi Peserta Paling Popular.
Sebagai juara, Fransisca menerima hadiah berupa wang RM6, 000 beserta piala dan hamper.
Bagi Anugerah Persembahan Terbaik dan Peserta Paling Popular, Fransisca menerima hadiah berupa wang RM500 dan RM300 beserta piala dan hamper untuk setiap kategori.
Malah penyanyi berusia 24 tahun ini turut melakar sejarah sebagai wakil Klang Valley pertama yang memenangi pertandingan berprestij ini.
Ditemui media sejurus dinobatkan sebagai juara, Fransisca yang jelas kelihatan kurang sihat mengakui tidak pernah sangka memenangi pertandingan Sugandoi.
Fransisca menyifatkan, dia mahu menebus kekecewaannya pada tahun lepas kerana gagal memberikan persembahan yang terbaik.
Saya tidak jangka langsung boleh menang sebenarnya… Saya hanya mahu buat yang terbaik… saya mahu menebus kekecewaan tahun lepas sebab  saya tidak dapat menyanyi dengan baik, itu saja yang saya mahu buat.
“Tahun lepas saya ikut pertandingan ini sebagai wakil Libaran dan masuk final.. Masa tu saya kurang sihat, dan sekarang pun ada demam sikit namun saya kuatkan hati saja,” katanya yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Muzik.
Membuktikan usaha tidak akan sia-sia, Fransisca pernah mengikuti pertandingan ini pada tahun 2012 sebagai wakil Beluran namun hanya sampai ke suku akhir.
Dia mencuba nasib lagi pada tahun 2013 sebagai wakil Sandakan dan meraih tempat ke-3.
Dia berehat sebentar sebelum membuat keputusan untuk menyertai pertandingan ini pada tahun lepas.
Naib Johan dirangkul oleh Evana Hera (Ranau) dan Gretchene Quirina (Inanam).
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang RM4, 000 dan RM3, 000 beserta piala dan hamper.-oleh Evachel J John/BNN