KENINGAU: Kursus Induksi Pegawai Pengesah Luaran / PPL yang dianjurkan baru – baru ini bagi memperkukuh kefahaman, kemahiran dan profesionalisme peserta telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Kursus Induksi PPL adalah kursus wajib di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) untuk melatih individu menjadi PPL yang mengesahkan penilaian di Pusat Bertauliah (PB) atau di tempat kerja (SLDN, PPT).
Kursus Induksi ini juga bertujuan memberi pendedahan awal berkaitan peranan, etika kerja serta piawaian kompetensi yang perlu dipatuhi oleh peserta selaras dengan keperluan industri dan pembangunan modal insan negara.
Melalui Kursus Induksi PPL tersebut juga, menandakan pengiktirafan rasmi terhadap tahap kemahiran dan kecekapan peserta yang telah memenuhi kriteria penilaian di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran serta kredibiliti mereka dalam bidang berkaitan.
Penganjur yang juga Pengarah Urusan AMG Academy, Puan Faridah Alexius Muri Gulim menegaskan bahawa penganjuran Kursus Induksi PPL bukan sekadar memenuhi keperluan latihan, tetapi menjadi platform strategik dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran, berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran sebenar dunia pekerjaan.
“Pentauliahan ini adalah pengiktirafan terhadap usaha, komitmen dan kesungguhan peserta sepanjang mengikuti latihan. Ia juga menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti perkhidmatan dan produktiviti,” katanya.
Program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan kemahiran dan profesionalisme tenaga kerja tempatan.-pr/BNN





