LAHAD DATU: Seramai 37 pelajar Politeknik Tawau berjaya menamatkan Program Kampung Ecoventure Siri II yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Telisai dan Pulau Buta Ecotourism, Tungku, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Politeknik Tawau, Mohliyarni Jaling, berkata program itu dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti yang memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat.

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti, malah menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman serta budaya.

“Sepanjang program, pelajar terlibat dalam aktiviti keluarga angkat, eksplorasi budaya, permainan tradisional, masakan etnik, sesi perkongsian kepakaran pelajar bersama komuniti, persembahan kebudayaan serta pendedahan terhadap warisan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, program keluarga angkat memberi peluang kepada pelajar merasai kehidupan luar bandar secara dekat, sekali gus memahami adat resam dan cara hidup masyarakat setempat.

Katanya lagi, aktiviti eksplorasi budaya pula memperkenalkan pelajar kepada keunikan sejarah dan budaya kampung, selain menguji semangat kerja berpasukan serta daya ketahanan mereka.

“Permainan tradisional berjaya memupuk semangat kesukanan dan hubungan mesra antara penduduk kampung dan pelajar, manakala sesi perkongsian kepakaran memberi manfaat kepada komuniti Kampung Telisai khususnya dalam bidang pelancongan,” jelasnya.

Tambah beliau, program ini turut mempromosikan Kampung Telisai dan Pulau Buta Ecotourism sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan alam semula jadi, selari dengan usaha membangunkan komuniti yang mampan dan berdaya saing.

Sementara itu, Pengarah Program, Mohammad Rafiq Dharma Nazrul, berkata inisiatif tersebut merupakan keperluan wajib di bawah Penilaian Berterusan (PB), di mana pelajar perlu merancang dan melaksanakan program Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) dengan penglibatan aktif masyarakat setempat.

“Kami bukan sahaja memperoleh pengetahuan mengenai CoBT, malah mempelajari nilai kerjasama, budaya dan kehidupan masyarakat luar bandar yang amat berharga,” katanya.

Beliau berkata, pelajar turut menikmati pengalaman menginap di homestay komuniti Bajau Balangingi serta merasai ketenangan suasana kampung.

“Pelajar berpeluang menikmati makanan tradisional, mendalami gaya hidup harian komuniti, mempelajari dialek Bajau Balangingi serta mencuba alat muzik tradisional,” katanya.

Pengalaman itu, menurutnya, berjaya meningkatkan kefahaman dan penghargaan pelajar terhadap budaya Bajau Balangingi serta kepelbagaian budaya di Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pensyarah kursus CoBT, Mohliyarni Jaling dan Rosilah Man, atas bimbingan dan sokongan berterusan sepanjang perancangan hingga pelaksanaan program.

Program tersebut turut menampilkan pameran hasil Batik Sabah oleh pereka batik tempatan, Yuslan Jafri.

Kerjasama strategik antara Pulau Buta Ecotourism dan Yuslan dalam pembangunan industri seni Batik Sabah dilihat memberi impak besar kepada ekonomi komuniti setempat di Tungku, termasuk membuka peluang pekerjaan dan latihan kepada generasi muda.

Kehadiran tokoh pelancongan negeri yang dikenali sebagai “Bapa Pelancongan Sabah”, Dato’ Seri Tengku Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood, turut menyuntik semangat kepada para peserta dan penduduk Kampung Telisai.

Diharapkan program ini dapat menyemai kesedaran serta rasa cinta terhadap kepentingan dan kelestarian industri pelancongan di Sabah.

Pulau Buta Ecotourism juga menawarkan peluang latihan industri kepada pelajar universiti di fasiliti pelancongannya.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengarah Politeknik Tawau Helen Lau @ Abd Kadir, Ketua Jabatan Akademik Mohamad Zulhilmy Mohamad Yusop, Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar Dr Alfian Thomas, Ahli Jawatankuasa Persatuan Homestay Sabah William Lee, Pegawai Pembangunan Koperasi ANGKASA Mohd Idris Salehuddin, Pengurus Pulau Buta Ecotourism Jessica Reyes @ Noraini Abdullah, serta Pengerusi Koperasi Perniagaan Akuakultur Sabah Bhd Mohd Amirol Hamid.