KENINGAU: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Persatuan Hakka Keningau menziarahi beberapa ahli warga emas berusia 90 tahun ke atas sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan generasi terdahulu kepada komuniti setempat.

Lawatan berkenaan diketuai Presidennya, Kapitan Anthony Chong, bersama barisan kepimpinan persatuan, dengan menyantuni warga emas secara peribadi di kediaman masing-masing serta menyampaikan sampul angpau dan hadiah perayaan.

Anthony berkata, program itu mencerminkan komitmen berterusan persatuan dalam menjaga kebajikan warga emas serta memperkukuh hubungan kekeluargaan dalam komuniti Hakka di daerah ini.

Beliau berkata, warga emas perlu terus dihargai kerana mereka menjadi sumber teladan, pengalaman dan kebijaksanaan kepada generasi muda, selain berperanan penting dalam membentuk identiti serta nilai masyarakat.

Turut menyertai lawatan itu ialah Setiausaha Agung persatuan, Chee Mui Len; Ketua Biro Kebajikan, Chai Yuk Kong; Timbalan Ketua Biro Kebajikan, Chong Min Nam; Timbalan Ketua Biro Wanita, Wong Chen Lan; wakil Biro Belia, Tony Lai Chi Siang; serta Ahli Jawatankuasa, Voo Yuk Woh dan Thien Yuen Ming.

Dalam lawatan sama, rombongan turut menziarahi Ketua Biro Organisasi persatuan, Robert Liew Kok Chung, yang kini berehat di rumah akibat masalah kesihatan, sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan persatuan terhadap ahlinya.-pr/BNN