KOTA KINABALU: Daya Nyonya Kopitiam yang terletak bersebelahan Daya Hotel kini muncul sebagai destinasi pilihan pencinta masakan Peranakan halal di bandar ini.

Walaupun baru tiga bulan beroperasi, restoran berkenaan berjaya mencipta nama sebagai hab hidangan Nyonya autentik yang menggabungkan ramuan serta teknik masakan Cina dengan pengaruh Melayu.

Pemiliknya, Jason Ng berkata, konsep halal yang diketengahkan memberi peluang kepada komuniti lebih luas menikmati masakan Nyonya, termasuk masyarakat Islam memandangkan premis itu tidak menyajikan hidangan berasaskan khinzir.

Menu yang ditawarkan merangkumi pelbagai pilihan daripada sarapan seperti roti bakar arang bersama mentega tulen dan telur, sehinggalah hidangan berat seperti rendang ayam dan daging. Mi Nyonya turut menjadi tarikan utama dengan pilihan goreng, berkuah atau bersos bersama perisa istimewa seperti laksa, kari dan pedas.

Antara hidangan popular lain ialah nasi ulam, nasi lemak, makanan laut, ayam goreng serta sajian tradisional dalam periuk tanah liat. Hidangan unik “Fragrance Veggie” turut mendapat perhatian pelanggan kerana sukar ditemui di tempat lain. Restoran ini juga menyediakan pilihan untuk vegetarian.

Selain makanan, premis itu menawarkan lebih 23 jenis minuman termasuk Kopi Kawin, kopi ais dan teh tarik, dengan beberapa menu baharu sedang dibangunkan.

Menurut Jason, maklum balas pelanggan amat menggalakkan dengan kadar kepuasan mencecah 99.9 peratus. Restoran berkapasiti 75 orang itu sesuai untuk kunjungan santai mahupun tempahan berkumpulan secara bufet atau hidangan berpinggan.

Beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 9 malam, restoran ini menampilkan konsep kopitiam moden dengan sentuhan warisan dalam suasana dalaman yang luas dan selesa. Premis yang dicat warna biru kehijauan itu turut menggaji sepenuhnya pekerja tempatan, kira-kira 90 peratus daripadanya beragama Islam.

Dengan kerjasama hotel berhampiran serta penambahbaikan menu secara berterusan, Daya Nyonya Kopitiam dilihat berpotensi menjadi antara bintang baharu dalam landskap kulinari Kota Kinabalu.-BNN