KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah mengesahkan bahawa Kerajaan Negeri akan membantah permohonan yang difailkan oleh pihak Peguam Negara Persekutuan bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 berhubung semakan dan penentuan hak Negeri Sabah terhadap 40% daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada Negeri ini bagi tahun 1974 hingga 2021 (“Tahun-Tahun Yang Hilang”).

Perintah Mahkamah Tinggi telah mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi melaksanakan pemberian khas 40% selaras dengan kerangka Perlembagaan bagi Tahun-Tahun Yang Hilang, dan untuk mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April 2026.

Sejak keputusan tersebut dikeluarkan, Kerajaan Negeri Sabah dengan sepenuhnya kekal komited mematuhi isi dan maksud keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Kerajaan Negeri Sabah secara konsisten telah turut terlibat dalam proses libat urus bersama pihak berkuasa Persekutuan yang berkaitan, dan beberapa mesyuarat serta perbincangan teknikal telah diadakan bagi sesi bertukar maklumat, membuat pengesahan data, serta pertimbangan terhadap kaedah-kaedah yang sesuai bagi menentukan jumlah amaun Pemberian Khas 40% kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Kerajaan Negeri Sabah telah melaksanakan kesemua sesi perbincangan tersebut secara konstruktif, telus serta dengan niat yang baik agar objektif untuk mencapai suatu penyelesaian yang adil, berprinsip serta boleh diterima secara bersama dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh pihak Mahkamah Tinggi.

Justeru itu, Kerajaan Negeri Sabah juga telah mengemukakan beberapa cadangan serta kerangka kerja bagi membantu pihak-pihak yang berkaitan untuk mencapai persetujuan bersama.

Kerajaan Negeri Sabah tidak ada melakukan sebarang penangguhan kelewatan mahupun tidak memberi kerjasama dalam melaksanakan Perintah Mahkamah Tinggi.

Sebaliknya, Kerajaan Negeri Sabah telah mengambil langkah-langkah yang aktif dan berterusan bagi memastikan proses yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi itu dapat dilaksanakan secara teratur dan produktif.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Sabah kekal bersedia, bersetuju dan berkeupayaan untuk terus berunding dengan pihak Kerajaan Persekutuan secara konstruktif dengan tujuan mencapai suatu keputusan yang dipersetujui bersama selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang mengawal Pemberian Khas tersebut serta terma-terma Perintah Mahkamah Tinggi berkenaan.

Dalam pada itu, ditegaskan juga bahawa Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan suatu mekanisme perlembagaan yang jelas sekiranya pihak-pihak gagal untuk mencapai persetujuan.

Peruntukan tersebut menghendaki pelantikan seorang penilai bebas, yang mana syor-syor yang dikemukakan olehnya berhubung perkara tersebut “hendaklah mengikat kerajaan-kerajaan yang berkenaan dan hendaklah dilaksanakan seolah-olah syor tersebut merupakan persetujuan kerajaan-kerajaan tersebut.”

Jaminan perlembagaan ini memastikan bahawa proses semakan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat diselesaikan secara teratur walaupun sekiranya tiada persetujuan bersama dapat dicapai.

Memandangkan perbincangan masih sedang berlangsung, dan mengambil kira tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahkamah telah semakin hampir, Kerajaan Negeri Sabah berpendapat bahawa kedua-dua pihak perlu terus menumpukan perhatian serta mempergiatkan lagi usaha bagi memenuhi terma-terma Perintah Mahkamah Tinggi tersebut dan bekerjasama untuk mencapai suatu penyelesaian yang adil dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah akan sentiasa mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi hak dan kepentingan Negeri Sabah, dan dalam masa yang sama menyokong prinsip kedaulatan undang-undang, prinsip perlembagaan serta semangat kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.DATUK BRENNDON KEITH SOH ,Peguam Besar Negeri Sabah. -pr/BNN