KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri ini.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, berkata pihaknya turut menyokong langkah kerajaan negeri membantah permohonan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan berkenaan.

Beliau berkata, sebagai generasi muda yang bakal mewarisi masa depan Sabah, usaha mempertahankan hak negeri tidak seharusnya dilihat sebagai isu politik semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan prinsip keadilan dan penghormatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, jelas menunjukkan komitmen yang konsisten dalam memastikan proses perundingan dan libat urus dengan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara profesional, telus serta berlandaskan prinsip undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azrul berkata, pada masa sama kerajaan negeri turut menegaskan kepentingan agar keputusan Mahkamah dihormati serta dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Menurutnya, pendekatan matang dan berprinsip itu wajar mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira latar belakang politik kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan jangka panjang rakyat Sabah.

Beliau berkata, sebarang usaha yang boleh melambatkan pelaksanaan keputusan Mahkamah tidak akan membantu mempercepatkan penyelesaian isu berkenaan.

“Sebaliknya, apa yang diperlukan ketika ini ialah komitmen bersama untuk mencapai penyelesaian yang adil, munasabah dan menghormati hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.

Azrul turut menyeru semua pihak di Sabah supaya bersatu dalam mempertahankan hak negeri kerana tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan itu adalah hak rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Katanya, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak serta kepentingan Sabah demi masa depan negeri dan rakyatnya.-pr/BNN