KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Hj. Yazid Hj. Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Negeri Sabah yang membantah permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung semakan dan penentuan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 itu bukan sekadar keputusan pentadbiran, sebaliknya satu keputusan kehakiman yang mempunyai kekuatan undang-undang dan wajib dihormati serta dilaksanakan tanpa sebarang helah penangguhan.

Menurutnya, sebarang usaha untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut hanya akan menimbulkan persepsi bahawa hak perlembagaan Sabah terus dipinggirkan walaupun perkara itu telah diputuskan melalui saluran perundangan.

“Keputusan mahkamah adalah manifestasi kedaulatan undang-undang. Justeru, ia perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa hak 40 peratus hasil bersih itu bukan tuntutan baharu, sebaliknya hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, rakyat Sabah telah terlalu lama menunggu penyelesaian terhadap isu yang sering digelar sebagai “Tahun-Tahun Yang Hilang”, justeru sebarang kelewatan lanjut adalah tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip keadilan.

“Kerajaan Persekutuan sewajarnya menunjukkan komitmen politik yang jelas dengan melaksanakan keputusan mahkamah secara berperingkat sekiranya terdapat kekangan kewangan, bukannya memohon penangguhan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar menghormati institusi kehakiman negara serta memastikan hak Sabah dilaksanakan sepenuhnya demi menjamin keadilan, kestabilan Persekutuan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Hak Sabah mesti dihormati, dan keputusan mahkamah mesti dilaksanakan,” tegasnya.-pr/BNN