TAMBUNAN: Usaha memperkukuh aktiviti komuniti gereja kawasan pedalaman terus mendapat sokongan apabila Pengerusi MP Project, Moddy Patrick menyumbangkan sebuah keyboard kepada Gereja Katolik St. Mary Magdalene, Kg Nandal untuk kegunaan pelayanan muzik dan program gereja.
Sumbangan tersebut diserahkan bagi membantu memperkasa peranan muzik dalam ibadah serta menyokong pelbagai aktiviti gereja yang melibatkan masyarakat setempat di Kg Nandal.
Menurut Moddy, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha menyokong institusi komuniti yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh nilai kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan penduduk.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak gereja dan komuniti Kg Nandal atas komitmen berterusan mereka dalam memupuk semangat kekitaan serta mempererat hubungan masyarakat melalui pelbagai program kerohanian dan kemasyarakatan.
Sumbangan tersebut diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak gereja dalam menjayakan aktiviti pelayanan serta memperkukuh peranan gereja sebagai pusat komuniti di kawasan pedalaman Tambunan.-pr/BNN





