KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid, menzahirkan kasih dan penghormatan kepada kedua ibu bapanya apabila menziarahi pusara mereka dalam suasana hening bulan Syawal, kelmarin.

Beliau yang juga anak sulung daripada enam beradik hadir menziarahi pusara Allahyarham Haji Mohd Hasnan Tawik Mansai serta Allahyarhamah Nor Anne Kuita sebagai tanda ingatan dan kasih yang tidak pernah pudar.

Haji Yazid berkata, ziarah itu bukan sekadar kunjungan biasa, sebaliknya menjadi ruang mengubat rindu dan mengenang segala jasa serta pengorbanan yang dicurahkan kedua ibu bapanya sepanjang hayat.

“Tiada lagi suara menyapa, hanya doa menjadi penghubung rindu,” katanya ringkas.

Menurutnya, sebagai anak sulung, beliau memikul amanah untuk terus memelihara ikatan kekeluargaan serta meneruskan nilai kasih sayang yang diwariskan oleh kedua ibu bapanya.

Beliau berkata, amalan ziarah pusara pada Syawal bukan sahaja mengingatkan tentang hakikat kehidupan, malah menyemai keinsafan serta memperkukuh nilai kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, walaupun jasad terpisah, kasih terhadap insan tersayang tidak pernah berakhir, sebaliknya terus hidup melalui doa yang tidak putus dipanjatkan.-pr/BNN