KENINGAU: Polis dan masyarakat tidak boleh dipisahkan dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara, tegas Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Seri Mohd Ishak Ayub.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Polis Ke-219 yang diraikan di seluruh negara, kelmarin, dengan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

Menurutnya, tema berkenaan membawa mesej jelas bahawa aspek keselamatan bukan hanya terletak di bahu pasukan beruniform semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan, kepercayaan serta kerjasama erat daripada rakyat.

“Keamanan tidak datang dengan sendiri, sebaliknya dibina melalui hubungan saling percaya antara polis dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Ishak berkata, pengorbanan anggota polis di lapangan, sama ada dalam melaksanakan tugas harian mahupun berdepan situasi berisiko tinggi, merupakan benteng utama dalam mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam usaha mengekalkan keamanan, selain memperkukuh semangat kebersamaan demi kesejahteraan negara.

“Apabila polis berada di hadapan menjaga keamanan, rakyat perlu berdiri bersama menyokong usaha itu kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama,” katanya.-pr/BNN