KOTA KINABALU: Jubilo Football Academy terus mencipta nama dalam pembangunan bola sepak akar umbi apabila menerima jemputan untuk menghantar jurulatihnya menjalani program penempatan latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Tawaran ini disampaikan oleh Ong Kim Swee, Pengarah Teknikal National Football Development Programme (NFDP), semasa lawatan kerja beliau ke sekretariat akademi tersebut di Likas hari ini.

Program penempatan ini bertujuan meningkatkan tahap kejurulatihan melalui pendedahan kepada metodologi latihan berprestasi tinggi yang diamalkan di peringkat kebangsaan.

Dalam lawatan tersebut, Datuk Ong bersama delegasinya telah diberi taklimat mengenai struktur organisasi, falsafah pembangunan serta program-program yang dilaksanakan oleh Jubilo Football Academy. Ketika ini, akademi tersebut membimbing kira-kira 200 pemain muda berusia antara bawah 7 hingga bawah 16 tahun.

Sejak penubuhannya, Jubilo Football Academy telah mencatat pelbagai kejayaan membanggakan. Pasukan bawah 7 – 16 tahun akademi ini pernah muncul juara dalam Liga Superimau Malaysia, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan latihan yang sistematik dan berdisiplin.

Selain kejayaan di padang, akademi ini turut memberi penekanan kepada pembangunan holistik pemain muda, termasuk pembentukan sahsiah, semangat berpasukan dan kepimpinan.

Melalui latihan berterusan, program pencarian bakat serta penyertaan dalam kejohanan peringkat kebangsaan, Jubilo Football Academy kini menjadi antara institusi penting dalam pembangunan bola sepak di Sabah.

Lawatan ini merupakan kunjungan balas oleh NFDP di bawah Football Association of Malaysia dalam usaha memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara badan pembangunan bola sepak kebangsaan dan institusi akar umbi.

Hadir menyambut Datuk Ong bersama delegasinya yang turut terdiri daripada jurulatih NFDP Ganasamurthy dan Pengurus Besar NFDP Muhammad Yusof Ibrahim ialah Pengerusi Jubilo Football Academy Syarulnizam Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Saiful Azua Datuk Golkhan serta Ketua Pegawai Operasi Hasnuddin Datuk Golkhan.

Turut hadir ialah Penaung Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta barisan kepimpinan akademi.

Lawatan tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Pengerusi Jubilo Football Academy kepada Datuk Ong Kim Swee, yang disaksikan oleh Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan para hadirin.-pr/BNN