KOTA KINABALU: Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia telah secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan semua jawatan berkaitan kerajaan.
Peletakan jawatan itu dinyatakan secara rasmi semasa pertemuan bersama YAB Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 21 April 2026.
Keputusan Presiden USNO itu juga disahut secara sebulat suara pada 22 April 2026 dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO untuk keluar daripada gabungan GRS.
Antara justifikasi awal tentang keputusan USNO ini ialah disebabkan sudah tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU-DU) Sabah kali ke-17.
USNO juga mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi lokal Sabah dan akan komited dalam proses semak dan imbang.
USNO juga mengucapkan terima kasih kepada YAB Pengerusi GRS serta semua rakan komponen GRS atas kebersamaan sebelum ini. USNO berjanji akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang termarginalisasi.-pr/BNN




