KOTA KINABALU: Festival kulinari berprestij Sabah, The Signature Food Fest (TSFF) bakal kembali semula bagi edisi kelima pada tahun 2026 selepas berehat selama sembilan tahun, sekali gus mengangkat semula keunikan gastronomi, pelancongan dan gaya hidup negeri ini.
Festival yang mula diperkenalkan pada tahun 2014 itu telah melalui empat penganjuran berturut-turut sehingga 2017 sebelum kembali dengan nafas baharu sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta penjenamaan semula Favstyle Magazine sebagai majalah gaya hidup dwibulanan premium.
Penganjuran semula TSFF bukan sahaja menandakan kebangkitan sebuah festival makanan ikonik, malah menjadi platform penting dalam memperkasa industri makanan, hospitaliti, pelancongan dan ekonomi kreatif Sabah.
Menurut penganjur, mekanisme penjurian asal masih dikekalkan, namun edisi kali ini tampil dengan penambahbaikan termasuk pengiktirafan anugerah lebih menyeluruh, kerjasama strategik industri serta integrasi sektor pelancongan yang lebih kukuh.
Antara juri yang kembali menyertai festival ini ialah Datuk Gordon Leong dan Rory Richardson, manakala panel baharu terdiri daripada Adjunct Prof. Jessie Jong serta Suzanne dan Dennis, Ketua Pegawai Eksekutif TVSabah.
TSFF 2026 turut menjalin kerjasama bersama SO GOOD FLEA MARKET di Riverson – The Walk, yang menggabungkan elemen pelancongan kulinari, kraftangan kreatif, keusahawanan tempatan dan promosi budaya Sabah.
Tarikh Penting Penganjuran
Festival ini akan berlangsung mengikut tiga fasa utama:
1 hingga 3 Mei 2026
The Signature Showcase di Riverson – The Walk yang menampilkan sajian istimewa, persembahan muzik secara langsung, aktiviti mesra keluarga dan zon kanak-kanak.
1 hingga 31 Mei 2026
Promosi Menu Signature dan sesi penjurian rasmi melibatkan semua premis yang mengambil bahagian, termasuk acara sampingan mingguan seperti kelas etika makan moden kendalian Ben Uzair.
5 Jun 2026
Malam Anugerah Gemilang di Grandis Hotels & Resorts secara jemputan khas.
Penyertaan Terbesar Dalam Sejarah TSFF
Sebanyak 16 premis makanan dan hospitaliti akan menyertai TSFF 2026, menjadikannya edisi terbesar sejak festival ini diperkenalkan. Penyertaan melibatkan kategori Bistro, Kafe/Kopitiam, Hotel dan Restoran.
Kempen “Dine, Win & Vote”
Orang ramai turut berpeluang menyertai kempen interaktif “Dine, Win & Vote” dengan mengumpul cop daripada premis yang mengambil bahagian selepas menikmati hidangan signature masing-masing. Sebanyak 10,000 borang cop akan diedarkan dan peserta perlu mengumpul sekurang-kurangnya tiga cop untuk melayakkan diri ke cabutan bertuah.
Senarai Anugerah Berprestij
Antara anugerah yang dipertandingkan termasuk:
* The Best Signature Menu
* Best Plate Presentation
* Best Dining Experience
* Best Customer Service
* Excellence in Chinese Culinary
* Excellence in Western Culinary
* Excellence in Native Sabahan Culinary
* TSFF Lifetime Achievement Award
serta beberapa kategori khas lain.
Memartabatkan Sabah
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada Sabah Tourism Board, Sri Pelancongan Sabah, TVSabah, para penaja, rakan kerjasama dan media yang menyokong penganjuran ini.
Bersempena musim Kaamatan, TSFF 2026 mengajak orang ramai, pelancong dan pencinta makanan untuk bersama-sama meraikan kebanggaan Sabah melalui sajian makanan, budaya, kreativiti dan semangat komuniti.Rasa. Raikan. Terokai Sabah.-BNN





