KOTA KINABALU: Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Chen Ket Chuin yang mempersoalkan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai tidak berasas dan bermotif politik, kata Datuk Jerry Ambuting Mohd Said.
Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah itu berkata, dakwaan kononnya SPRM masih berada di bawah pengaruh politik hanyalah persepsi yang sengaja dimainkan pembangkang bagi mengelirukan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa sepanjang pengetahuannya, SPRM telah menunjukkan komitmen jelas dalam melaksanakan tugas secara profesional dan bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Adalah tidak adil untuk melabelkan setiap pelantikan sebagai sekadar ‘kosmetik’ sedangkan institusi itu terus menjalankan tanggungjawabnya secara telus dan berintegriti.
“SPRM telah membuktikan bahawa tiada siapa yang kebal daripada siasatan, termasuk individu berprofil tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jerry berkata, kenyataan Chen yang menuntut reformasi struktur secara menyeluruh seolah-olah menafikan segala usaha pembaharuan institusi yang telah dilaksanakan kerajaan selama ini.
Katanya, sebarang cadangan penambahbaikan wajar disalurkan melalui saluran yang konstruktif dan bukan dengan melemparkan tuduhan bersifat persepsi semata-mata.
“Pembangkang perlu lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila melibatkan institusi penting negara seperti SPRM.
“Menggambarkan badan itu seolah-olah tidak bebas hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat serta imej negara di mata dunia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sistem sedia ada sudah mempunyai mekanisme semak dan imbang, termasuk peranan Parlimen serta badan pemantau lain bagi memastikan akauntabiliti SPRM sentiasa terpelihara.
Dalam masa sama, Jerry berkata usaha memerangi rasuah memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak harus dipolitikkan demi kepentingan tertentu.
“Perjuangan menentang rasuah bukan milik mana-mana parti. Ia adalah tanggungjawab bersama demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Beliau menambah, rakyat kini semakin matang dan mampu menilai antara kritikan berasas dengan kenyataan yang bersifat retorik politik semata-mata.-pr/BNN





