PUTATAN: Pertandingan Sugandoi atau nyanyian lagu-lagu KadazanDusun yang diadakan sempena Pesta Kaamatan mampu membuka ruang bakat-bakat terpendam di Putatan ke persada seni di negeri dan negara di masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, meskipun ianya dipertandingkan setahun sekali, pertandingan itu sememangnya terbukti melahirkan para penyanyi di Sabah dan ada yang sudah mempunyai tempat di arena hiburan tempatan.
Beliau berkata, sehubungan dengan itu, acara kebudayaan seperti ini perlu didukung sepenuhnya bagi mengambil kira faktor semangat memartabatkan kepelbagaian bahasa dan budaya di Sabah, khususnya pada musim perayaan Kaamatan.
“Pertandingan Sugandoi ini kita lihat semakin mendapat tempat bukan sahaja di kalangan masyarakat KadazanDusun Murut Rungus (KDMR) bahkan ia juga telah merentasi peminat-peminat hiburan tanah air.
“Keunikan pertandingan ini juga berharga buat rakyat Sabah kerana hanya berlangsung setiap kali sambutan Pesta Kaamatan, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Sugandoi Peringkat DUN Tanjung Keramat 2026 di Dewan Serbaguna Kg Potuki, Potuki, dekat sini, semalam (Jumaat).
Hadir sama adalah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar.
Seramai lapan peserta menyertai Pertandingan Sugandoi Peringkat DUN Tanjung Keramat 2026 dengan para pemenang akan berentap di pentas Pertandingan Sugandoi Peringkat Putatan yang akan diadakan pada hari kemuncak Pesta Kaamatan hujung bulan Mei nanti.-pr/BNN





