KPI digesa ambil alih jalan-jalan balak- Bobbey

0
205
Datuk Bobbey A.Suan

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur digesa agar meneruskan cadangan untuk mengambil alih jalan raya-jalan raya di kawasan pedalaman yang ditinggalkan oleh syarikat-syarikat balak terdahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Bobbey Suan berkata, cadangan itu perlu diteruskan kerana jalan-jalan ini masih mempunyai kepentingan kepada penduduk tempatan terutamanya di kawasannya.

Beliau berkata, jalan tersebut ialah Jalan Raya Kg Lotong, Sepulut ke Pensiangan dan Jalan Raya Kampung Simatuoh ke Kg Saliku, Samatalun dan ke Pekan Pagalungan.

“Jalan raya ini digunakan oleh para penduduk kampung setiap hari, termasuklah guru-guru, murid-murid sekolah, yang bertugas dan tinggal di kawasan lebih terpencil”, katanya ketika membahas Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, semalam.

Bobbey berkata, pelbagai kekangan dan masalah dihadapi khasnya oleh sekolah-sekolah yang berada jauh di kawasan pedalaman Nabawan dan Pensiangan.

Katanya, kesukaran itu termasuk dari segi capaian teknologi semasa seperti internet dan jaringan telekomunikasi, serta infrastruktur dan prasarana lain.

Beliau juga meminta pegawai Kementerian Pendidikan agar mengadakan lawatan ke semua 27 buah Sekolah Kebangsaan dan tiga buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di daerah Nabawan dan daerah Kecil Pagalungan untuk meninjau dan mengetahui sendiri permasalaan dilapangan.

“Lawatan sedemikian penting agar dapat memberi maklumat dan pandangan kepada pihak kerajaan khasnya bagi mengatasi masalah-masalah yang mampu menjejaskan prestasi di sekolah-sekolah terbabit.

“Mengambil contoh SMK Sepulut yang dibina sejak 10 tahun lalu, mempunyai asrama yang dapat menempatkan 500 orang murid. Namun yang saya lihat, masih terdapat kekurangan yang perlu diketahui dan diselesaikan oleh pihak kerajaan”, tegasnya.

Bobbey berkata, penghuni asrama itu terdiri daripada anak-anak penduduk yang tinggal berjauhan daripada kawasan rumah, namun asrama mereka masih mengalami masalah bekalan air bersih.

Menurutnya, lebih menyedihkan ialah murid-murid ini terpaksa mandi di sungai semasa musim kemarau kerana masalah bekalan air di asrama sekolah tersebut.

Beliau berkata, tragedi hitam yang masih diingati sehingga sekarang ialah kejadian seorang murid yang telah mati lepas semasa mandi di sungai pada tahun lalu, berikutan masalah bekalah air.

“Kita tidak mahu kejadian malang ini terus berulang dan menjadi sejarah hitam untuk murid-murid yang tinggal di asrama tersebut”, tegasnya.

Beliau juga meminta Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat meneliti masalah di klinik kesihatan, terutamanya dari segi penyediaan kemudahan sistem wad yang lebih baik.

Bobbey berkata, Klinik Kesihatan Jenis IV sedia ada yang hanya mampu memuatkan sebanyak enam katil pesakit lelaki dan enam katil pesakit perempuan perlu dinaik taraf menjadi Hospital Daerah yang memiliki dewan bedah, unit tabung darah dan sistem wad yang teratur.

“Kekangan ini telah memaksa kes-kes pesakit kritikal di kawasan tersebut, dibawa ke Hospital Daerah lain yang berdekatan seperti di Keningau. Namun ia masih memakan masa dan jarak perjalanan yang agak jauh sehingga lebih sejam.

“Selain itu, terdapat tiga buah klinik kesihatan yang kecil yang sangat perlu dinaiktaraf segera iaitu di kawasan daerah kecil Pagalungan, mukim Sepulut dan di mukim Pensiangan yang mana kepadatan penduduk adalah lebih kurang 15,000 orang.

“Saya mohon agar pihak Kementerian Kesihatan meninjau masalah-masalah. Hal ini penting kerana melibatkan isu kesihatan penduduk dan isu kesihatan adalah berkaitan nyawa manusia”, tambahnya.

Bobbey juga berharap dua buah air terjun iaitu di Sungai Sabanait, Pensiangan dan Kampung Tampusison, Nabawan serta gua yang mempunyai lagenda iaitu Bukit Batu Punggul, Sepulut dipromosikan sebagai pusat pelancongan menarik dalam negeri.-pr/BNN