PUTATAN: Para jemaah haji yang dijadualkan berangkat untuk menunaikan rukun Islam ke-lima diingatkan mengutamakan faktor keselamatan dan kesihatan sepanjang musim haji tahun ini.
Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, untuk konteks berkenaan, bakal jemaah haji perlu peka dengan arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh Tabung Haji Malaysia dalam memastikan kelancaran ibadah haji.
“Sudah tentu dalam musim haji ini, jemaah yang bakal berangkat bukan sahaja berdepan dengan audiens yang ramai malah beberapa faktor lain termasuk keadaan cuaca dan jadual yang padat.
“Sehubungan itu, kita nasihatkan agar utamakanlah faktor keselamatan dan kesihatan sepanjang musim haji tahun ini, kita doakan beroleh haji yang marbur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 50 bakal jemaah haji yang diraikan dalam majlis Duyufurrahman (Tetamu Allah) Peringkat Parlimen Putatan di Masjid Daerah Putatan, hari ini.
Hadir sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Parlimen Putatan; Mohd Sufian Matin.
“Alhamdulillah, hari ini kita menyumbangkan sedikit ehsan sumbangan kepada para jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci bermula 11 Mei hadapan.
“Acara ini merupakan program CSR kita bagi meraikan tetamu-tetamu Allah ke Mekah yang terdiri dari rakyat Putatan, “katanya.-pr/BNN





