KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya peruntukan RM600 juta Pemberian Khas Persekutuan tidak dimanfaatkan dengan baik disifatkan sebagai mengelirukan dan bermotif politik oleh aktivis pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, tuduhan itu seolah-olah cuba menafikan usaha berterusan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Memang mudah untuk mencari kesalahan dan memutar naratif. Satu kelemahan kecil diperbesarkan seolah-olah seluruh pentadbiran gagal, sedangkan hakikatnya banyak inisiatif besar sedang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah menegaskan, rakyat perlu menilai secara objektif perbezaan pendekatan antara pentadbiran GRS dengan kerajaan terdahulu, khususnya dalam pengurusan peruntukan awam.
Menurutnya, projek-projek kritikal seperti Loji Rawatan Air (LRA) dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sebelum ini tergendala atas faktor politik, kini disambung semula di bawah pentadbiran Hajiji.
“Keputusan menghentikan projek-projek penting sebelum ini memberi kesan besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Namun hari ini, kerajaan negeri berusaha membetulkan semula keadaan itu,” katanya.
Mengulas mengenai penggunaan dana awam, beliau berkata kerajaan GRS tidak mengamalkan pendekatan bantuan bersifat sementara semata-mata, sebaliknya menumpukan kepada pembangunan jangka panjang.
Katanya, inisiatif seperti Rumah Mesra SMJ yang menyediakan kediaman percuma kepada golongan miskin membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Ini bukan bantuan sekali guna. Rumah yang dibina memberi perlindungan jangka panjang kepada keluarga yang memerlukan, berbanding bantuan berbentuk barangan asas yang hanya bertahan sementara,” katanya.
Selain itu, katanya, usaha menaik taraf sistem bekalan air termasuk pembinaan empangan dan penambahbaikan loji rawatan sedang giat dilaksanakan di seluruh negeri bagi menangani isu berlarutan.
Aksyah turut menekankan bahawa peruntukan besar dalam sektor pendidikan, termasuk biasiswa berjumlah RM136 juta, adalah pelaburan penting untuk masa depan generasi muda Sabah.
Beliau berkata, bantuan tunai seperti program SYUKUR dan sokongan kepada pelajar turut memberi impak langsung kepada golongan sasar.
“Rakyat memerlukan penyelesaian sebenar, bukan sekadar retorik. Bantuan yang disalurkan hari ini memberi kesan terus kepada kehidupan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat kekurangan dalam pelaksanaan dasar, namun menegaskan ia sedang ditangani secara berperingkat oleh kerajaan negeri.
“Tiada kerajaan yang sempurna, tetapi menuduh kerajaan gagal ketika usaha pembaikan sedang giat dijalankan adalah tidak adil dan berunsur fitnah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan bukti, bukan persepsi yang dibentuk melalui naratif politik.
“Rakyat Sabah bijak menilai. Mereka tahu membezakan antara pembangunan sebenar dengan retorik yang tidak membawa hasil,” katanya.-pr/BNN





