KOTA KINABALU: Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah (RTM Sabah) akan menganjurkan Konsert 8070 yang menghimpunkan artis legenda dan bakat baharu dalam satu pentas istimewa di Grand Ballroom ITCC Mall, Penampang, pada 9 Mei ini, bermula pukul 8.30 malam.
Konsert julung kali yang diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Hari RTM ke-80 serta Jubli Platinum 70 Tahun Radio RTM Sabah itu mencerminkan komitmen RTM Sabah sebagai “Teman Setia Anda” dalam mendekati masyarakat, di samping menghargai sokongan berterusan para pendengar dan penonton di seluruh negeri.
Konsert yang menggabungkan dua sambutan bersejarah ini bakal menampilkan legenda seni suara tanah air, Ramlah Ram, bersama barisan artis popular serta bakat baharu tempatan seperti Haziq Rosebi, Afieq Shazwan, Rey Kimara, Sitipah Jahamin, Joy dan Dhania. Persembahan selama dua jam itu dijangka menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu malar segar dan terkini.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang beramah mesra dengan penyampai radio RTM Sabah daripada SABAHfm, SABAHVfm, TAWAUfm, SANDAKANfm dan KENINGAUfm, sekali gus mengeratkan hubungan antara penyiar dan pendengar.
Konsert 8070 ini akan disiarkan secara langsung menerusi platform RTMKlik, media sosial rasmi RTM Sabah termasuk Facebook, serta semua stesen radio RTM Sabah pada 9 Mei. Rakaman konsert pula dijadualkan disiarkan pada 16 Mei 2026, pukul 9.00 malam di TV2.
Orang ramai, khususnya di sekitar Kota Kinabalu, dijemput hadir bagi memeriahkan konsert ini. Pelbagai hadiah menarik tajaan rakan strategik turut menanti pengunjung bertuah. Kemasukan adalah percuma.-BNN





