KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan komitmen Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan untuk membawa lebih banyak inisiatif pembangunan belia dan sukan ke Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, inisiatif Persekutuan itu akan melengkapkan usaha Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan dan sukan di negeri ini.

“Sukan juga merupakan platform penting untuk memupuk perpaduan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Menteri Belia dan Sukan Persekutuan, Dr Muhammed Taufiq Johari, di Menara Kinabalu, dekat sini, pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Setiausaha Tetap Datuk Mansur Asun.

Dalam kunjungan hormat itu, Dr Muhammed memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa kementeriannya telah mengenalpasti beberapa program bagi pembangunan sukan dan belia di Sabah.

Beliau berkata, Sabah mempunyai potensi untuk pembangunan pasaran khusus,khususnya dalam pelancongan sukan.

Dr Muhammed turut memuji Sabah atas komitmen tinggi untuk menghantar kontinjen seramai 200 orang bagi menyokong sambutan Hari Belia Negara yang akan diadakan di Negeri Sembilan pada pertengahan bulan ini.-pr/BNN