SANDAKAN: Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) dan anak syarikat milik penuhnya, Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB), menyumbang sebanyak RM200,000 kepada Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Bahagia di sini baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengerusi SEC Datuk Hassan A Gani Pg Amir, diiringi oleh Pengerusi ASB merangkap Ahli Parlimen Labuan YB Datuk Indera Dr. Haji Suhaili Bin Abdul Rahman. Penyerahan dilakukan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Bin Untong, JP, dalam satu majlis yang berlangsung di Sandakan.

Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia YB Datuk Armizan Bin Mohd Ali, Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, YB Datuk Firdaus Akbar Khan, Ahli Parlimen Sandakan, YB Vivian Wong, serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson.

Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan milik penuh kerajaan Negeri Sabah, kumpulan syarikat SEC memikul tanggungjawab bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi negeri, malah turut memberi perhatian kepada kebajikan rakyat, dan berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mangsa yang terjejas akibat kebakaran tersebut.-pr/BNN