KOTA KINABALU: Sasaran membawa nama Sabah dan seterusnya negara Malaysia dalam persada sukan golf antarabangsa menjadi impian besar pasangan adik beradik, Khayr Akhtar Ummar Ariff dan Muhammad Yahya Ummar Ariff.
Khayr Akhtar (15) merupakan pelajar tingkatan tiga Maktab Sabah manakala adiknya Muhammad Yahya (12) belajar di SK Sri Gaya menanam hasrat itu kerana minat mendalam terhadap sukan berkenaan hasil didikan bapa mereka dan ahli keluarga yang lain.
Terbaru, kedua-dua beradik ‘golfer’ itu masing-masing menjuarai kategori 15 tahun dan 12 tahun Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah 2026 di Nexus Karambunai Golf pada Khamis lalu.
Ditanya mengenai kenapa golf dan bukannya sukan-sukan lain seperti rakan seusia yang lain, Khayr Akhtar mendedahkan karisma seperti juara PGA dan eropah seperti Rory Mcllroy menjadi idola semasanya baik dari sudut pukulan dan gaya ‘putting’ yang berlainan dengan pemain golf antarabangsa lain.
“Saya juga selalu menonton permainan golfer negara seperti Gavin Green dan juga meminati skil permainan beliau.
“Selain berlatih di padang lapangan atau driving range, bapa kami Ummar Ariff juga akan selalu mengajak kami menonton siaran golf di tv yang mana membawa minat kepada saya mendalami serta menyertai sukan golf.
“Sehubungan itu, kami berdua berharap mendapat peluang untuk mengharumkan nama Sabah dan negara dalam sukan golf kerana ia merupakan satu sukan yang turut diminati oleh ramai orang di seluruh dunia, “katanya.
Jelasnya, permainan golf di padang lapangan semakin sebati dengannya meskipun berhadapan dengan jadual padat di sekolah tanpa mengabaikan aspek pembelajaran.
“Kalau saya, sudah bermain golf sejak berusia 11 tahun dan Alhamdulillah, berkat dengan tunjuk ajar jurulatih kami; Helmie Yusof dan Fraser Pook, kami dapat bermain dengan secara efisyen dan menyertai kejohanan-kejohanan golf yang ada, “katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Khayr berjaya mengungguli peringkat 15 tahun Kejohanan MSS Sabah dengan kelebihan 6 pukulan daripada 36 lubang manakala adiknya, Muhammad Yahya menjuarai kategori 12 tahun dengan kelebihan 12 pukulan daripada 36 lubang.-pr/BNN




