KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Jordan Jude Ellron tampil menjelaskan satu hantaran media sosial yang disifatkannya keterlaluan serta berunsur menjatuhkan imejnya, khususnya berkaitan persepsi terhadap wanita.
Beliau berkata, tuduhan atau gambaran negatif yang cuba dikaitkan dengannya adalah tidak benar sama sekali dan tidak mencerminkan latar belakang sebenar kehidupannya.
Menurutnya, beliau merupakan anak bongsu dan satu-satunya lelaki dalam keluarga yang mempunyai empat orang kakak.
“Saya dibesarkan dan disayangi oleh lima wanita sepanjang hidup saya iaitu mendiang ibu serta kakak-kakak saya, Cheryl, Claire, GG dan Cheng,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.
Jordan menjelaskan sejak kecil, beliau dijaga rapi oleh ibu dan kakak-kakaknya yang memainkan peranan besar dalam membentuk dirinya sehingga ke hari ini.
Katanya, ketika masih bayi, ibunya sering meminta bantuan kakak-kakaknya untuk menguruskan keperluannya termasuk memandikan, memberi makan dan menukar pakaian.
“Semasa zaman persekolahan hingga remaja, kakak-kakak saya bergilir menghantar dan mengambil saya dari sekolah. Malah ketika melanjutkan pelajaran ke universiti, mereka turut membantu proses pendaftaran serta mencari tempat tinggal,” katanya.
Beliau berkata sokongan dan bimbingan keluarga, khususnya daripada wanita dalam hidupnya, telah banyak membentuk hala tuju serta prinsip kehidupannya.
Tambahnya, sebelum meninggal dunia, ibunya juga sempat berpesan agar beliau sentiasa membantu dan menjaga kakak-kakaknya.
Jordan yang kini bergelar wakil rakyat berkata, beliau terus mengangkat peranan wanita dalam pentadbiran kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya.
“Dalam pentadbiran saya, wanita memainkan peranan penting. Mereka bebas memberi nasihat dan teguran, dan saya sentiasa terbuka menerimanya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pejabatnya menyediakan fail khas bagi menangani permohonan melibatkan wanita, dan kebanyakan permohonan tersebut diberi keutamaan.
“Saya jarang menolak permohonan daripada wanita kerana saya sendiri dibesarkan oleh wanita. Peranan mereka sentiasa saya angkat tinggi tanpa mengira umur dan latar belakang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar pihak tertentu menghentikan penyebaran hantaran berunsur negatif yang boleh menimbulkan persepsi salah terhadap dirinya.
“Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, seperti yang digambarkan dalam hantaran tersebut,” tegasnya.
Jordan turut mengimbau pesanan arwah ibunya yang sentiasa mengingatkannya agar menghormati wanita.
“Arwah ibu saya selalu berpesan, ‘layan wanita dengan baik’. Saya pegang nasihat itu supaya kakak-kakak saya bangga mempunyai adik lelaki yang menghormati wanita,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyeru semua pihak agar menghentikan polemik politik sepanjang bulan Kaamatan.
“Kita sama-sama meraikan tema Kaamatan iaitu ‘Menuai Perpaduan, Meraihkan Keharmonian’. Bulan ini bukan musim berpolitik atau berkempen,” katanya.
Beliau berharap masyarakat dapat mengekalkan semangat perpaduan dan keharmonian sepanjang sambutan tersebut.-pr/BNN





