KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyifatkan pendekatan terbuka dan kesediaan Sabah Electricity (SE) Keningau turun padang memberi penjelasan berhubung isu lonjakan bil elektrik sebagai langkah positif yang mampu meredakan keresahan rakyat.

Beliau berkata, pertemuannya bersama pegawai SE baru-baru ini memberi ruang kepada rakyat memahami isu sebenar selain membolehkan pihak utiliti itu mendengar sendiri pandangan dan keluhan pengguna.

Tiga pegawai SE yang hadir ialah Pengurus CERA, Joyce Kabinchong; Eksekutif Khidmat Pelanggan, Marhana Mohd Shukur; dan Pegawai Perhubungan Pelanggan Wakil Bahagian Runcit SE (CERA) Keningau, Jacqueline Chong.

Menurut Yazid, sesi perbincangan yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat setiakawan itu amat dihargai kerana pihak SE tampil memberi penerangan secara langsung mengenai isu yang hangat diperkatakan rakyat termasuk di media sosial.

“Pendekatan turun padang seperti ini sangat baik kerana rakyat dapat memperoleh maklumat yang tepat dan memahami situasi sebenar berkaitan bil elektrik,” katanya dalam kenyataan media.

Dalam pertemuan itu, beliau turut mencadangkan agar pihak pengurusan SE terus memperkukuh pendekatan turun padang dan lebih responsif terhadap isu yang melibatkan rakyat.

Katanya, komunikasi secara langsung bersama masyarakat lebih berkesan bagi memastikan maklumat disampaikan dengan jelas dan menyeluruh.

Pada masa sama, Yazid merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, atas inisiatif mengadakan sidang media bagi memberi penjelasan berkaitan isu lonjakan bil elektrik.

Beliau berharap langkah itu dapat membantu rakyat memahami faktor peningkatan bil elektrik selain mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Dalam pada itu, Yazid turut menyeru rakyat Sabah agar terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, serta bekerjasama dengan Sabah Electricity dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan demi kepentingan rakyat di negeri ini.-pr/BNN