SEMPORNA : Program Misi Sukarelawan: Kembara Anak Watan ke Sabah (KEWASA) 4.0 telah berjaya dilaksanakan pada 30 April hingga 6 Mei 2026 dengan penyertaan 30 orang sukarelawan daripada Kolej Tun Hussein Onn, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Program ini dianjurkan untuk melahirkan pemimpin sukarelawan yang holistik melalui pelaksanaan program komuniti berimpak tinggi selaras tema,
“Sukarelawan Membina Komuniti Daya Tahan.”
KEWASA 4.0 merupakan kesinambungan daripada siri terdahulu — KEWASA 1.0 (Sabah), KEWASA 2.0 (Sarawak) dan KEWASA 3.0 (Sabah) — yang telah memberi impak positif kepada komuniti setempat dan pembangunan mahasiswa.
Program diketuai Ketua Pengarah Program, Saudara Daniel Loy, dengan bimbingan Felo Penasihat, Encik Izzat Ebrahim. Sepanjang tujuh hari, sukarelawan melaksanakan pelbagai aktiviti pendidikan, kebudayaan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti di lokasi utama: Kampung Lormalong dan Sekolah Kebangsaan Madai (Kunak), serta Rumah Ngaji Anak Asnaf dan SMK Bugaya II (Semporna).
Program ini memberi pendedahan kepada pengurusan program khidmat komuniti berimpak tinggi dan memperkukuh jaringan strategik bersama agensi kerajaan, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan. KEWASA 4.0 juga menjadi platform untuk mempertingkat kemahiran insaniah mahasiswa — kepimpinan, komunikasi, pengurusan program dan kerja berpasukan — melalui pengalaman lapangan yang inklusif dan imersif.
Aktiviti komuniti
Di Kampung Lormalong, sukarelawan mengikuti program keluarga angkat dengan penduduk setempat untuk mendekatkan mahasiswa kepada kehidupan komuniti.
Gotong-royong dan program santuni komuniti dilaksanakan dengan pembersihan kawasan kampung serta sesi ramah mesra.
Program rewang dan BBQ yang ditaja Sekretariat KEWASA mewujudkan suasana muhibah dan kerjasama erat antara sukarelawan dan penduduk.
“Kopi Chat: Isu Setempat dan Masa Depan Kampung” bersama wakil Ketua Menteri Sabah, Datuk Norazlinah, membincangkan isu pembangunan dan hala tuju komuniti.
Sesi Bicara Kecerdasan Buatan (AI) oleh Saudara Fikri memberi pendedahan tentang teknologi dan kepentingan AI kepada penduduk kampung.
Malam Kebudayaan Silang Budaya menampilkan persembahan dari kedua-dua pihak: tarian Sumazau dan Dikir Barat oleh sekretariat KEWASA, serta tarian tradisional Igal-Igal dan Manuk-Manuk oleh penduduk kampung.
Wakil ADUN Kunak turut hadir memeriahkan program.
Aktiviti di sekolah dan institusi
Di Sekolah Kebangsaan Madai: Bicara AI untuk guru, Eksplorasi STEM untuk murid Tahun 6, dan slot motivasi oleh Saudara Awliya untuk meningkatkan minat pelajar terhadap pendidikan.
Sumbangan daripada penaja diserahkan kepada pihak sekolah dan pelajar yang memerlukan.
Di Maahad Tahfiz Ashabul Yamin: Penyerahan sumbangan al-Quran daripada Kompleks Nasyrul Quran serta slot motivasi khas untuk huffaz.
Di Rumah Ngaji Anak Asnaf Semporna: Pertandingan membaca dan mewarna, penyampaian bantuan (baju KEWASA dan mainan), serta sesi motivasi dan ramah mesra bersama penghuni.
Di SMK Bugaya II: Eksplorasi STEM untuk pelajar Tingkatan 3, sesi mentor-mentee untuk Tingkatan 5 tentang hala tuju selepas SPM, dan pemasangan Mural STEM sebagai simbol kerjasama serta legasi program.
Penghargaan
Penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik atas sokongan serta sumbangan, antaranya Yayasan MR. DIY, Rainbow Girls, Zakat UKM, Yayasan Canselor, KMUKM, Hiruscar, Ai-CHA, Berjaya Times Square Theme Park, Nasyrul Quran, AZ Printing dan lain-lain.
Penilaian ringkas
Secara keseluruhan, KEWASA 4.0 berjaya mencapai objektif penganjurnya: memperkasa semangat kesukarelawanan, memupuk kesedaran sosial dan mengukuhkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti Sabah.
Program diharapkan menjadi medium pembangunan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berjiwa masyarakat, empati dan komitmen tinggi untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan.
Slogan “Menjunjung Semangat Sukarelawan, Menyantuni Komuniti, Memperkasa Anak Watan.”-pr/BNN





