Bajet 2018 paling komprehensif, dengar denyut nadi belia: Bahrin

0
718
Mohd Bahrin Abd.Karim
Mohd Bahrin Abd.Karim
KOTA KINABALU: Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri kelmarin paling komprehensif dan memenuhi kehendak semua segmen masyarakat, termasuk golongan belia, kata Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu, Mohd Bahrin Abd Karim.

Beliau berkata golongan belia mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya menerusi Bajet 2018 sama ada dari segi latihan kemahiran, mahupun peluang ekonomi dengan menceburi perniagaan kecil-kecilan.

Mengulas pengumuman bajet itu yang dibentangkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen, beliau bersetuju dan sependapat bahawa ia merupakan bajet terbaik dan inklusif kerana meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Bagi saya, ia adalah bajet paling komprehensif kerana semua kelompok komuniti, kaum dan wilayah mendapat agihan seimbang, begitu juga wanita dan belia tidak dipinggirkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memuji pendekatan yang dilaksana Perdana Menteri dalam menyediakan belanjawan berkenaan yang disifatkan pelbagai pihak sebagai `ibu segala bajet’.

Mohd Bahrin berkata bajet RM50 juta bagi membiayai ‘social enterprise’ dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diumumkan dalam bajet itu, adalah satu contoh komitmen kerajaan membantu golongan belia.

Ini kerana pembiayaan itu mampu menyelesaikan masalah kemasyarakatan harian serta cabaran sosial secara inovatif, sekali gus memberi peluang kepada golongan belia menyertai kepemimpinan untuk membina dan berbakti kepada negara.

Selain itu, katanya, golongan muda yang kini sudah mula berjinak dalam sektor pertanian, perladangan dan nelayan yang menerima ‘durian runtuh’ dengan peruntukan besar berjumlah RM6.5 bilion, sudah pasti akan menggunakan peluang terbabit bagi meningkatkan produktiviti diri serta ekonomi keluarga.

Menurutnya, keputusan kerajaan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta pembiayaan Pinjaman Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) dan menaikkan jumlah pinjaman maksimum pelajar keluarga B40 mampu membantu mengurangkan beban kehidupan golongan belia, dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Beliau percaya teras dan strategi bajet kali ini dirangka dengan mengambil kira maklum balas golongan belia menerusi siri dialog Transformasi Nasional (TN50) yang diadakan sebelum ini, termasuk di negeri Sabah.

Sehubungan itu, katanya, kini adalah masa dan peluang bagi golongan belia merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan.

Mohd Bahrin yakin golongan belia menarik nafas lega dengan pembentangan bajet berkenaan kerana pelbagai rintihan dan keluhan orang muda sebelum ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri.

Beliau turut  merujuk insentif paling memberi kesan kepada orang muda iaitu berkaitan pembangunan ekonomi, seperti Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk modal kerja dan sektor perkhidmatan dengan pinjaman di bawah skim itu membolehkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengautomasikan pengeluaran.

Dalam pada itu, Mohd Bahrin turut mengalu-alukan penyediaan peruntukan yang begitu besar RM6.8 bilion untuk pembangunan Sabah dan Sarawak menerusi bajet 2018..

Katanya, peruntukan berkenaan sudah pasti akan dapat memacu pertumbuhan serta kemajuan penduduk kedua-dua negeri, terutama di kawasan luar bandar.

Selain projek Pan-Borneo yang diberikan peruntukan RM2 bilion, sejumlah RM1 bilion lagi diperuntukkan bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak.

Manakala hampir RM500 juta diperuntukkan untuk tujuan projek pembangunan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak, sementara RM620 juta lagi untuk projek bekalan elektrik di kedua-dua negeri itu yang akan membawa manfaat kepada 10,000 rumah luar bandar.

“Penyediaan bajet ini bukti Perdana Menteri mendengar suara rakyat dan memahami aspirasi rakyat. Sebab itulah saya katakan, Bajet 2018  ini cukup komprehensif dan inklusif,” kata Mohd Bahrin.

Beliau turut menempelak pembangkang yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap belanjawan negara ini, termasuk kononnya ia sebagai bajet populis.-pr/BNN