PUTATAN: Sebanyak 31 ekor lembu korban diagihkan kepada masjid, surau dan beberapa agensi kerajaan terpilih di kawasan Parlimen Putatan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah tahun ini.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, program penyerahan sumbangan lembu korban itu dilaksanakan secara tahunan bagi menyemarakkan penghayatan ibadah korban serta memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, agihan berkenaan melibatkan penerima yang telah dikenal pasti di seluruh kawasan Parlimen Putatan merangkumi masjid, surau dan agensi kerajaan.

“Sebanyak 31 ekor lembu korban disediakan pada tahun ini dan diagihkan kepada surau, masjid serta beberapa agensi kerajaan yang telah dikenal pasti dalam kawasan Parlimen Putatan.

“Kita berharap program seperti ini akan terus menyuburkan budaya kerjasama dalam kalangan masyarakat selain meningkatkan penghayatan ibadah korban dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H/2026M Parlimen Putatan di Pejabat Daerah Putatan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata sambutan Aidiladha perlu diraikan dengan penuh rasa syukur serta dijadikan medan untuk menghayati nilai pengorbanan dan keikhlasan.

Beliau turut mengingatkan jawatankuasa yang mengendalikan ibadah korban agar memastikan daging korban diagihkan secara adil dan teratur kepada golongan yang memerlukan di kawasan masing-masing.

“Apabila amanah ini dapat dilaksanakan dengan baik, ia bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah mampu mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat,” katanya lagi.-pr/BNN