KENINGAU: Kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan di Jalan Bingkor menuju ke Taman Bandukan akibat angin kencang dan cuaca buruk petang kelmarin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk serta pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kejadian itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan kerana boleh mengundang risiko keselamatan kepada orang ramai, khususnya pemandu dan penunggang motosikal yang menggunakan laluan tersebut.
Menurut beliau, pemantauan serta pemeriksaan berkala terhadap pokok-pokok besar di tepi jalan raya amat penting bagi memastikan keadaan pokok sentiasa selamat dan tidak membahayakan pengguna.
“Langkah awal dan pemantauan berterusan perlu dilaksanakan terutama ketika musim hujan serta keadaan cuaca tidak menentu yang sering disertai angin kuat.
“Kejadian seperti ini boleh berlaku tanpa diduga dan berpotensi mengancam keselamatan pengguna jalan raya sekiranya tindakan pencegahan tidak diambil lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.
“Syukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku. Namun, insiden ini wajar dijadikan peringatan kepada semua pihak supaya usaha pencegahan dan pemantauan dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pokok tumbang terbabit berjaya dialihkan dan dibersihkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau dalam tempoh singkat.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak bomba serta semua pihak yang terlibat atas tindakan pantas mereka dalam memastikan laluan kembali selamat dan boleh digunakan semula oleh orang ramai.-BNN





