KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menggesa pihak berkuasa berkaitan meneliti secara menyeluruh satu permohonan tanah seluas kira-kira 650 ekar di kawasan Kandang Besar, Bunga Raya yang kini menjadi perhatian masyarakat setempat susulan penyebaran maklumat mengenainya di media sosial.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata penyebaran gambar dan dokumen berkaitan permohonan tanah berkenaan sejak kebelakangan ini telah menimbulkan pelbagai persoalan serta kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai status tanah terbabit dan implikasinya terhadap komuniti setempat.
Beliau berkata, keluasan tanah yang dipohon adalah signifikan dan wajar diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Persatuan memohon agar Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Pejabat Tanah Keningau serta agensi berkaitan meneliti permohonan tersebut secara menyeluruh, telus dan berlandaskan segala peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
“Kita percaya setiap keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan awam, pandangan masyarakat setempat, aspek kelestarian alam sekitar serta impak sosial dan ekonomi kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, masyarakat berhak memperoleh maklumat yang tepat dan jelas berhubung perkara itu bagi mengelakkan timbulnya salah faham, spekulasi atau penyebaran maklumat yang tidak sahih.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan dapat menyalurkan maklumat yang sewajarnya kepada orang ramai bagi memastikan keadaan kekal harmoni dan tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.
Haji Yazid turut menjelaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan persatuan itu bukan bertujuan mempertikaikan hak mana-mana individu atau pihak untuk mengemukakan permohonan tanah mengikut saluran yang sah.
Sebaliknya, katanya, ia merupakan suara masyarakat yang mahu melihat setiap permohonan melibatkan kawasan tanah yang luas dipertimbangkan secara adil, telus dan mengambil kira kepentingan rakyat serta kesejahteraan komuniti setempat.
“Pembangunan perlu berjalan seiring dengan kepentingan rakyat serta kelestarian kawasan demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.-pr/BNN





