KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menasihatkan penduduk di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu supaya bertenang serta mematuhi arahan pihak berkuasa susulan amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi berukuran 7.9 magnitud melanda Mindanao, selatan Filipina pagi ini.
Ketua Menteri berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di daerah-daerah berkenaan telah diaktifkan bagi mengendalikan situasi tersebut.
Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda daerah-daerah tersebut bermula jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari hari ini.
“Adalah penting bagi orang ramai untuk kekal tenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” kata Hajiji.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Negeri melalui Pusat Kawalan Bencana Negeri sedang memantau situasi itu dengan rapi. – pr/BNN.





