KOTA KINABALU: Parti-parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan perlu memahami bahawa landskap politik negara kini telah berubah dengan ketara, kata Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya dalam masa terdekat, tumpuan tidak lagi boleh diberikan semata-mata kepada penyokong tradisional kerana pengundi baharu dan kelompok majoriti senyap semakin memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.
“Kini terdapat lebih ramai pengundi muda dan pengundi baharu dalam sistem. Pada masa yang sama, kelompok penyokong tegar semakin berkurangan manakala majoriti senyap terus berkembang. Keupayaan memenangi keyakinan mereka mungkin menjadi faktor penentu keputusan pilihan raya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah dan Bendahari UMNO Sabah itu berkata, semakin ramai pengundi menilai parti dan calon berdasarkan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
Menurut beliau, antara perkara yang menjadi perhatian pengundi ialah ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan, tadbir urus, kredibiliti kepimpinan serta hala tuju masa depan yang ditawarkan oleh sesebuah parti.
“Pengundi juga semakin melihat melangkaui jenama parti. Mereka mahukan wakil rakyat yang mudah didekati, sentiasa bersama rakyat dan berkhidmat sepanjang tempoh perkhidmatan, bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya dan menghilang selepas itu,” katanya.
Salleh turut mengakui bahawa pilihan raya kali ini membawa cabaran tersendiri apabila terdapat parti-parti yang bekerjasama di peringkat Persekutuan tetapi berkemungkinan bertanding antara satu sama lain di peringkat negeri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kempen pilihan raya perlu dijalankan secara profesional dan berhemah dengan memberi tumpuan kepada isu negeri, dasar, prestasi serta penyelesaian yang ditawarkan kepada rakyat.
“Fokus harus diberikan kepada isu negeri, dasar, prestasi serta penyelesaian yang ditawarkan, bukannya serangan peribadi atau usaha mewujudkan permusuhan politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemimpin dan jentera parti supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutama dalam era media sosial yang mampu mempercepatkan penyebaran maklumat.
“Dalam era media sosial, satu kenyataan boleh menjadi tular dengan pantas, mencetuskan ketegangan yang tidak perlu dan mengundang pertembungan terbuka yang berpanjangan,” katanya.
Salleh berkata persaingan sihat merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi, namun kematangan politik menuntut semua pihak bersaing berdasarkan idea, prestasi dan kepimpinan tanpa mengabaikan rasa hormat serta hubungan kerja yang baik.
Beliau menambah bahawa kejayaan dalam pilihan raya kini banyak bergantung kepada keupayaan parti-parti politik menawarkan kepimpinan yang berwibawa dan penyelesaian yang praktikal kepada rakyat.
“Akhirnya, pilihan raya tidak lagi ditentukan semata-mata oleh penyokong tradisional. Ia akan banyak dipengaruhi oleh pengundi baharu dan majoriti senyap yang mencari kepimpinan berwibawa, penyelesaian yang praktikal dan komitmen yang tulus untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.-pr/BNN





