TAMBUNAN : Mutu pendidikan yang berkualiti lahir dari komitmen tenaga pengajar yang komited di samping bantuan keperluan di masa mengajar yang terkini dan boleh membantu sistem pembelajaran.
Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Dato’ Victor Peter Paut berkata kesemua itu saling berkait di tambah dengan suasana persekitaran yang baik kepada mental dan fizikal para pelajar.
“Kita mahu melihat daerah Tambunan ini sentiasa mekar dalam Pendidikan, demi melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang di masa hadapan.
Meski berada di luar bandar besar, Tambunan masih menjadi salah satu daerah yang hebat dalam dunia pendidikan dan mampu merapatkan lagi jurang pemisah dengan Sekolah-Sekolah terbaik di seluruh negeri,” jelasnya sejurus selepas mengumumkan pemberian sumbangan 7 unit Smart TV berukuran 65 inci kepada SMK Tambunan kelmarin.
Sumbangan tersebut yang memberikan keterujaan kepada pihak sekolah dan pelajar-pelajar Tingkatan Enam, di lihat sebagai satu lagi inisiatif Victor dalam usaha menjadikan Sekolah-Sekolah di daerah ini berdaya saing, gigih belajar dan kemudiannya membentuk diri sebagai pelajar cemerlang.
Apresiasi Pelajar Cemerlang adalah kayu pengukur yang menterjemah kualiti pendidikan sesebuah sekolah dan barisan pelajar-pelajar yang menaiki pentas menerima penghargaan, merupakan detik bersejarah yang sangat bermakna dan penuh kebanggaan.
“Bukan saja sekolah dan guru-guru bangga, malah ibubapa dan seluruh rakyat di daerah ini turut merasainya kelak.
Kita akan cuba sedaya upaya untuk terus membantu pihak sekolah, tenaga pengajar dan anak-anak murid di Tambunan ini meraih keputusan yang tertinggi dan terbaik di masa akan datang,” katanya lagi.-pr/BNN





