KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor tidak perlu melayan desakan tidak berasas daripada Bersih Sabah supaya menarik balik sekatan kemasukan terhadap Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi, sebaliknya terus mempertahankan hak autonomi imigresen Sabah yang dijamin di bawah Perlembagaan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum, Datuk Jaffari Waliam berkata, beliau menyokong sepenuhnya tindakan Kerajaan Negeri kerana keputusan itu dibuat mengikut kuasa autonomi imigresen yang dimiliki Sabah demi menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan kepentingan negeri.
“Tindakan kerajaan negeri adalah tepat, berani dan bertanggungjawab. Saya berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri dalam mempertahankan hak autonomi Sabah daripada dipertikai oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jaffari berkata, kenyataan Naib Pengerusi Bersih Sabah, Fadhil Kasim yang mendakwa kerajaan menyalahgunakan autonomi imigresen adalah tidak berasas dan bercanggah dengan pendirian Bersih sendiri yang sebelum ini mengakui menghormati hak Sabah dalam perkara berkenaan.
“Jika benar mereka menghormati autonomi Sabah, mereka juga perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak mempunyai kewajipan untuk mendedahkan secara terbuka setiap penilaian keselamatan yang menjadi asas kepada sesuatu keputusan imigresen kerana perkara itu membabitkan kepentingan keselamatan negeri.
Menurutnya, cubaan mengaitkan keputusan kerajaan dengan dakwaan melindungi ‘koruptor’ tanpa sebarang bukti hanyalah tuduhan liar yang bersifat provokasi politik dan tidak mencerminkan budaya demokrasi yang matang.
Mengulas tuntutan Bersih Sabah supaya sekatan terhadap Asraf ditarik balik, Jaffari berkata Hajiji tidak perlu melayan desakan yang bermotifkan tekanan politik terhadap kerajaan negeri.
“Keputusan berkaitan keselamatan dan imigresen adalah hak mutlak Kerajaan Negeri Sabah. Ia tidak seharusnya dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pertubuhan atau kumpulan berkepentingan.
“Sebaliknya, kerajaan negeri perlu terus bertegas mempertahankan hak autonomi imigresen Sabah yang menjadi antara keistimewaan negeri ini demi kepentingan rakyat.
“Tindakan kerajaan adalah tepat dan wajar mendapat sokongan penuh rakyat Sabah yang mahukan keamanan, kestabilan dan keharmonian negeri terus dipelihara,” katanya.
Jaffari turut menegaskan rakyat Sabah tidak mahu negeri ini dijadikan pentas untuk mengimport budaya demonstrasi jalanan atau konfrontasi politik yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Beliau berkata, Sabah selama ini mengamalkan pendekatan dialog, saling menghormati dan penyelesaian melalui saluran yang sah, bukannya demonstrasi yang berpotensi mencetuskan ketegangan.
“Semua pihak perlu menghormati hak Sabah mengurus sendiri hal ehwal imigresen tanpa campur tangan atau tekanan daripada mana-mana pihak. Autonomi imigresen adalah hak perlembagaan yang wajib dipertahankan demi kepentingan negeri dan rakyat Sabah,” katanya.-pr/BNN





