KOTA KINABALU: Persidangan Kanser Kulit Sabah 2026 mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh perkhidmatan kepakaran serta kerjasama perubatan di negeri ini.

Persidangan itu disempurnakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr William Gotulis, yang diwakili Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Ridwan Hashim.

Seramai 180 peserta dari Malaysia dan luar negara menghadiri persidangan itu, termasuk pelajar perubatan, pegawai perubatan, profesional kesihatan bersekutu, doktor pelatih pembedahan, pakar serta perunding.

Dr Gotulis berkata, penganjuran persidangan itu mencerminkan komitmen tinggi pihak penganjur dalam memperkukuh kepakaran klinikal, pertukaran ilmu akademik serta kerjasama multidisiplin dalam pengurusan kanser kulit.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Unit Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, bersama Kelab Plastik Akademik Sabah (KAPS) kerana menerajui penganjuran persidangan berkenaan.

Menurutnya, persidangan itu diadakan pada waktu yang amat penting memandangkan kanser kulit kini menjadi isu kesihatan yang semakin membimbangkan, khususnya di kawasan beriklim tropika seperti Sabah yang terdedah kepada sinaran ultraungu sepanjang tahun.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran masyarakat, pengesanan awal, diagnosis yang tepat serta rawatan yang berkesan bagi menangani penyakit berkenaan.

Katanya, pengukuhan kepakaran dalam bidang itu amat penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat dan pada masa yang sesuai.

Beliau turut menegaskan kepentingan pembangunan kapasiti, latihan serta perkongsian ilmu dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan bagi memastikan mereka sentiasa seiring dengan cabaran klinikal dan kemajuan perubatan yang semakin berkembang.

Dr Gotulis berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah kekal komited menyokong pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan kualiti, kebolehcapaian serta kelestarian perkhidmatan kesihatan, selaras dengan keutamaan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Persidangan seperti ini menyediakan platform penting untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman klinikal serta menyebarkan perkembangan terkini dalam aspek diagnosis, rawatan dan penjagaan rekonstruktif bagi pesakit kanser kulit,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan penceramah serta pakar terkemuka dari pelbagai institusi dan negara, yang disifatkan mampu memperkayakan perbincangan saintifik serta membuka peluang pembelajaran yang bernilai kepada para peserta.

Selain itu, beliau memuji jawatankuasa penganjur kerana memasukkan sesi praktikal seperti Bengkel Jahitan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif (PRS) serta Pengurusan Parut, yang memberi peluang kepada peserta memperoleh pengalaman secara langsung mengenai teknik pembedahan dan pendekatan moden dalam pengurusan parut.

Beliau yakin persidangan sulung itu akan menjadi pemangkin kepada kerjasama, penyelidikan dan pertukaran ilmu pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti penjagaan pesakit serta hasil rawatan klinikal yang lebih baik.

Beliau turut berharap semua peserta memperoleh manfaat dan kejayaan sepanjang berlangsungnya persidangan berkenaan.

Seramai 13 penceramah membentangkan kertas kerja sepanjang persidangan itu, iaitu Dr Aldrin Jasper Placidus, Dr Sandhya A/P Rajaintharan, Dr Teoh Xin Yun, Dr Hamidah Mohd Zainal, Dr Margarita Kepuladze, Dr Ragnild Anak Redit, Dr Nagarajan Nagalingam, Dr Jeremiah See Un Chang, Dr Lim Chiao Yee, Dr Koh Khai Luen, Prof. Theddeus O.H. Prasetyono, Dr Mohammad Ali Mat Zain dan Dr Ng Hian Chan.-pr/BNN