KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat, Aksyah Haji Nasrah, mendakwa rekod rasmi jawapan bertulis Parlimen berhubung Pemberian Khas Sabah membuktikan dakwaan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking, terhadap Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak selari dengan fakta.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau, Aksyah berkata jawapan bertulis Perdana Menteri/Menteri Kewangan bertarikh 1 Julai lalu perlu dijadikan rujukan kerana mengandungi fakta rasmi berkaitan rundingan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mendakwa kenyataan Darell yang bersandarkan istilah “without prejudice” (tanpa menjejaskan hak) dan interim payment (bayaran interim) hanyalah cubaan mempertahankan rekod rundingan kewangan pentadbiran Warisan pada 2019.

Menurutnya, dalam menilai sesuatu dasar awam dan ekonomi, ukuran kejayaan perlu berasaskan yield (hasil pulangan), bukannya retorik politik atau polemik perundangan.

Aksyah berkata rekod rasmi Parlimen menunjukkan pentadbiran Warisan pada 2019 turut memberikan persetujuan secara bertulis untuk menerima bayaran interim serta mekanisme pewartaan, sekali gus bercanggah dengan kritikan mereka terhadap kerajaan GRS sebelum ini.

Katanya, Warisan pernah mendakwa penerimaan mekanisme warta dan bayaran interim oleh GRS membuktikan kerajaan negeri menggadaikan hak Sabah, namun rekod yang sama menunjukkan pentadbiran mereka turut menerima pendekatan berkenaan ketika memerintah.

“Jika instrumen yang sama diterima ketika Warisan mentadbir negeri, mengapa ia dianggap salah apabila dilaksanakan oleh GRS? Percanggahan pendirian ini jelas memperlihatkan “double standard” yang hanya mengelirukan rakyat,” katanya.

Mengulas pencapaian rundingan kewangan, Aksyah mendakwa pentadbiran Warisan hanya berjaya memperoleh persetujuan pembayaran sebanyak RM53.4 juta setahun menerusi Belanjawan 2020 walaupun mempunyai kedudukan politik yang kukuh di peringkat Persekutuan.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berjaya meningkatkan unjuran bayaran interim secara berperingkat daripada RM125.6 juta kepada RM300 juta, kemudian RM600 juta sebelum disahkan mencecah RM1.5 bilion setahun.

Menurutnya, peningkatan itu membuktikan “execution capability” (keupayaan pelaksanaan) kerajaan GRS dalam mengurus rundingan dengan Kerajaan Persekutuan sehingga menghasilkan pulangan kewangan yang jauh lebih besar kepada Sabah.

Beliau berkata peningkatan unjuran itu turut memberi kesan langsung kepada “liquidity” (kecairan kewangan) negeri, sekali gus memperkukuh pelaksanaan pelbagai program pembangunan menerusi agenda Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Katanya, peningkatan daripada RM53.4 juta kepada RM1.5 bilion menunjukkan “upward trend” (trend peningkatan) yang jelas, sekali gus membolehkan rakyat membuat penilaian sendiri terhadap keberkesanan rundingan antara kedua-dua pentadbiran.

Aksyah berkata kerajaan GRS tidak pernah menuntut “hak cipta politik” dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sebaliknya memberi tumpuan kepada memastikan nilai Pemberian Khas terus meningkat melalui rundingan yang berhemah, konsisten dan dihormati Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Darell serta kepimpinan Warisan menghentikan dakwaan yang disifatkannya sebagai memutarbelitkan fakta semata-mata untuk meraih publisiti politik, sambil menegaskan bahawa slogan politik boleh diperdebatkan, namun kedudukan unjuran bayaran interim sebanyak RM1.5 bilion di bawah pentadbiran Hajiji merupakan fakta ekonomi yang perlu dinilai secara objektif oleh rakyat Sabah.-pr/BNN