KOTA KINABALU: Kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor membuktikan parti itu masih mempunyai daya saing, namun pendekatan berbeza diperlukan sekiranya mahu mencetuskan gelombang sama di Negeri Sembilan.

Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak berkata, kemenangan BN di Johor membuktikan bahawa apabila parti bersatu, mengetengahkan calon yang diyakini rakyat serta melaksanakan strategi berkesan, BN masih mampu mencatat kemenangan besar.

Beliau yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata, persoalannya kini ialah sama ada ‘gelombang biru’ Johor boleh berulang di Negeri Sembilan.

“Jawapannya, boleh, tetapi landskap politik Negeri Sembilan berbeza dan memerlukan pendekatan yang tersendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Salleh, BN di Johor mempertahankan kerajaan negeri, manakala di Negeri Sembilan, Pakatan Harapan (PH) ialah kerajaan penyandang.

Katanya, isu tempatan, sentimen pengundi dan persoalan calon Menteri Besar turut boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya negeri itu.

Beliau berkata, sekiranya matlamatnya adalah membentuk kerajaan, rundingan pembahagian kerusi perlu berasaskan kebolehmenangan kerana dalam sistem first-past-the-post, pertandingan pelbagai penjuru hanya akan memecahkan undi.

“Agihan kerusi hendaklah mengambil kira kekuatan parti di setiap DUN, rekod pilihan raya, keupayaan jentera, kualiti calon serta sumbangan setiap parti kepada gabungan.

“Kejayaan tidak diukur berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi, tetapi jumlah kerusi yang dimenangi,” katanya.

Salleh berkata, kemenangan besar BN di Johor mengukuhkan kedudukan parti itu dalam rundingan gabungan dan jika momentum itu dapat diterjemahkan di Negeri Sembilan, BN wajar menjadi teras gabungan.

Menurutnya, setiap parti juga perlu bertanding di kawasan yang memberikan peluang terbaik untuk menang bagi memastikan matlamat membentuk kerajaan dapat dicapai.

“Johor membuktikan bahawa BN masih mempunyai daya saing. Kini cabarannya ialah menterjemahkan keyakinan itu di Negeri Sembilan melalui strategi yang tepat, kerjasama yang kukuh dan fokus untuk memenangi kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan,” katanya.-pr/BNN