KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) Semenanjung Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengisytiharkan penubuhan entiti haram dikenali sebagai “Republic of Sabah North Borneo”.

Pengerusi Sekretariat SABAR Semenanjung Malaysia, Muhammad Faisal Mohamad Mohidin menegaskan bahawa gerakan tersebut tidak mempunyai sebarang asas di sisi undang-undang antarabangsa, tidak diiktiraf oleh mana-mana negara serta langsung tidak mewakili suara majoriti rakyat Sabah.

Menurut beliau perjuangan hak-hak Sabah mesti sentiasa berpaksikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan undang-undang, bukannya melalui tindakan provokasi atau pengisytiharan tidak sah di platform digital.

Kita menegaskan lima pendirian utama:

1. Sabah diiktiraf melalui proses perundangan yang sah

Sejarah membuktikan pembentukan Malaysia melibatkan rundingan rasmi yang membawa kepada pemeteraian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tokoh-tokoh seperti Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Fuad Stephens memainkan peranan penting dalam rundingan tersebut bersama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia adalah sah dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

2. Entiti tersebut tidak mempunyai sebarang keabsahan

Apa yang diisytiharkan hanyalah sebuah gerakan tanpa wilayah, tanpa pengiktirafan diplomatik dan tanpa sebarang kuasa pemerintahan yang sah menurut undang-undang antarabangsa.

3. Perjuangan hak tuntutan MA63 saluran sah

SABAR kekal komited memperjuangkan hak-hak Sabah sebagaimana termaktub dalam MA63. perjuangan tersebut harus dilaksanakan secara matang, berperlembagaan dan melalui saluran undang-undang yang sah.

4. Cubaan menggugat kestabilan negeri

Tindakan pihak luar ini dilihat berpotensi menimbulkan kekeliruan, menggugat keharmonian rakyat serta menjejaskan keyakinan terhadap usaha pembangunan negeri yang sedang dilaksanakan.

5. Tindakan tegas perlu diambil

SABAR mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat menyokong, menyebarkan atau mempromosikan gerakan haram tersebut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Faisal yang juga Mantan Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah turut menyeru seluruh rakyat Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negeri.

Sebaliknya, rakyat perlu terus bersatu mempertahankan hak-hak Sabah melalui pendekatan yang sah, berperlembagaan dan selaras dengan semangat MA63.-pr/BNN