KOTA KINABALU: Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan dakwaan kononnya kerajaan negeri melaksanakan “bailout” atau bantuan menyelamat terhadap Sabah Development Bank Berhad (SDBank), Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) dan SMJ Energy sebagai naratif yang mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, dakwaan yang dibangkitkan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, ketika perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini tidak menggambarkan keadaan sebenar kedudukan kewangan syarikat milik kerajaan negeri berkenaan.
Menurutnya, langkah yang diambil kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bukanlah satu bentuk bantuan menyelamat, sebaliknya penstrukturan semula kewangan bagi mengukuhkan institusi strategik negeri.
“Tiada satu sen pun wang baharu rakyat disuntik ke dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan. Wang RM200 juta itu memang sudah sedia ada dalam bank dan hanya ditukarkan statusnya kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus (RPS) bagi memperkukuh modal bank serta menjamin pulangan dividen tahunan kepada kerajaan negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Aksyah berkata, tindakan itu juga selaras dengan agenda Reformasi Institusi yang terkandung dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi penekanan kepada pengukuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya menjadi penyumbang kepada ekonomi negeri, bukannya liabiliti kepada kerajaan.
Beliau berkata, hasil reformasi yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah membolehkan beberapa GLC utama mencatat prestasi lebih baik dan menyumbang dividen yang lebih besar kepada Sabah.
Dalam kenyataannya, Aksyah turut membandingkan prestasi kutipan pinjaman tidak berbayar (NPL) SDBank ketika pentadbiran Warisan dan kerajaan GRS.
“Dalam tempoh dua tahun pentadbiran Warisan, kutipan tunai NPL yang berjaya diperoleh hanya RM260 juta. Sebaliknya, sejak pengurusan baharu dilantik pada Julai 2023, SDBank berjaya mengutip semula RM3.3 bilion,” katanya.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti keberkesanan pengurusan korporat yang lebih tersusun dan berupaya memperkukuh kedudukan kewangan institusi berkenaan.
Mengulas mengenai SIP, Aksyah berkata dakwaan kononnya syarikat itu menerima ‘bailout’ juga tidak tepat kerana proses penstrukturan semula yang dilaksanakan berjaya mengurangkan beban kewangan dan mengukuhkan prospek jangka panjang syarikat.
Katanya, melalui penerbitan Sukuk Wakalah RM900 juta serta pemindahan 10 peratus ekuiti LNG9 kepada SMJ Energy, SIP kini bebas daripada hutang dan berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai aset strategik negeri.
“SIP kini telah bebas sepenuhnya daripada hutang dan berjaya mengunci pendapatan untuk tempoh 10 tahun lagi melalui pelanjutan asetnya di Indonesia,” katanya.
Aksyah berkata kerajaan negeri ketika ini memilih untuk berdepan dan menyelesaikan pelbagai isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, termasuk memperkukuh kedudukan kewangan GLC strategik demi kepentingan ekonomi negeri.
Beliau menegaskan rakyat Sabah kini semakin matang menilai fakta dan prestasi sebenar kerajaan serta tidak mudah terpengaruh dengan naratif politik yang boleh mengelirukan pelabur dan masyarakat.
“Naratif boleh diputar, tetapi data dan pencapaian ekonomi di bawah kepimpinan Hajiji Haji Noor adalah fakta yang boleh dinilai oleh rakyat,” katanya.-pr/BNN




