KPLB persekutuan tinjau jalan utama Kadamaian

0
264
Meninjau jalan

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick sentiasa prihatin terhadap keperluan menaiktaraf jalan-jalan utama khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Salah satu jalan yang ditinjau

“Kita telah menjemput Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan untuk turun padang meninjau keperluan sebenar jalan-jalan utama di DUN Kadamaian supaya dapat dimasukkan dalam senarai keutamaan pelaksanaan Rolling Plan ke-4 iaitu bagi tahun 2019 dan 2020 di bawah pembiayaan peruntukan KPLB Persekutuan bagi Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020.

“Hari ini Sivarasa Rasiah, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan bersama-sama kita meninjau salah satu jalan utama di Kadamaian, iaitu Jalan Nahaba – Sayap sejauh lebih 10 kilometer.

“Lawatan kerja beliau sesungguhnya adalah melihat sendiri keperluan dan permohonan yang telah kita kemukakan bagi manfaat lebih 7000 penduduk di kawasan mukim ini,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamakan berkata jalan Kg Nahaba – Kg Sayap sangat penting untuk dinaiktaraf kerana ianya merupakan imej kepada industri pelancongan luar bandar Sabah.

Belasan ribu pelancong yang mengunjungi Kg Talungan, Kg Terintidon dan Kg Sayap juga menyampaikan aduan berkaitan jalan raya itu.

“Saya amat yakin lawatan kerja bersama YB Sivarasa dan KPLB Persekutuan akan dapat merealisasikan impian kami di Kadamaian untuk mendapatkan kemudahan jalan-jalan luar bandar yang lebih baik,” tambah beliau.

Menurut Ewon, satu retreat akan dianjurkan oleh KPLB Sabah bagi membincangkan input-input senarai keutamaan projek yang akan dilaksanakan bagi RP4 2019-2020 melibatkan kesemua Pegawai Daerah, KPLB Persekutuan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dan beberapa lagi agensi lain dalam masa terdekat.

Beliau berharap jalan Kg Nahaba – Kg Sayap dimasukkan dalam senarai keutamaan teratas.

“Kepimpinan yang lepas sudahpun berusaha mendapatkan komitmen Kerajaan menaiktaraf jalan ini. Tugas saya selaku Adun Kadamaian dan Menteri KPLB Sabah adalah memastikan ianya tersenarai untuk dilaksanakan dalam pelaksanaan Rolling Plan ke-4 RMK11.

“Hari ini, kita membawa YB Sivarasa mengunjungi eko-pelancongan Kg Talungan, Kg Terintidon dan Kg Sayap sebagai antara lain justifikasi keperluan menyenaraikan projek ini sebagai keutamaan pelaksanaan.

“Pada masa yang sama, saya juga mencadangkan kepada KPLB Persekutuan agar Kg Sayap dipilih sebagai salah satu Program Desa Lestari kerana potensi dalam sektor pelancongan,” katanya.

Selain jalan raya, beliau turut membangkitkan keperluan menaiktaraf kemudahan air graviti di 39 buah kampung dalam kawasan DUN Kadamaian yang tidak mempunyai akses kepada bekalan air bersih daripada Jabatan Air.

“Kita juga akan memasukkan ini sebagai input RP4 atau belanjawan seterusnya bagaimana kita boleh menyediakan air graviti terawat dan bersih kepada kampung-kampung ini,” katanya.

Di peringkat KPLB Sabah, Ewon turut menyatakan kelulusan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menaiktaraf kemudahan laluan trek eko-pelancongan dan pembinaan/penyelenggaraan gerai-gerai keusahawanan pelancongan di Kg Sayap bagi tahun ini.

Sementara itu, Sivarasa menyatakan bahawa hubungan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutamanya kerjasama di antara kedua-dua Kementerian Pembangunan Luar Bandar sangat penting untuk menjayakan pelaksanaan peruntukan KPLB Persekutuan di Sabah.

“Proses perbincangan dalam menentukan senarai-senarai keutamaan akan diadakan secara berterusan di antara kedua-dua Kementerian. Apa yang penting adalah kita memutuskan pelaksanaan berdasarkan kepada keperluan sebenar dan impak jangka panjang ke atas projek yang kita mahu laksanakan.

“Sebab itu saya turun padang melihat sendiri keperluan naik taraf jalan ini sepertimana yang dikemukakan oleh Menteri KPLB Sabah selaku Adun di kawasan ini,” katanya.

Selain kawasan DUN Kadamaian, Sivarasa turut melawat mukim Kg Rosok untuk berdialog dengan Pengerusi-Pengerusi MPKK berkaitan permasalahan bekalan air di 11 buah kampung dalam mukim tersebut.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Persekutuan, Isnaraissah Munirah Majilis, Pengarah KPLB Persekutuan, Hamsha Injau, Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelancongan Sabah, Mustapha Sakmud, para pegawai KPLB Persekutuan dan Sabah serta Pejabat Daerah Kota Belud.-pr/BNN