UMNO Sabah fokus usaha kukuhkan parti

0
Datuk Jainab Ahmad Ayid

KOTA KINABALU : UMNO Sabah kini fokus kepada usaha memperkukuhkan parti dan mengemaskini keahlian di peringkat cawangan dan bahagian-bahagian.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Dr Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid berkata, fokus utama UMNO sekarang ialah meneruskan kerja-kerja pembersihan dan pengukuhan parti.

Beliau berkata, keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ingin bertapak di Sabah tidak mengejutkan malah sudah lama dijangka.

“Pihak kami (UMNO Sabah) tidak mahu memikirkan perkara itu, sebaliknya fokus utama sekarang ialah meneruskan kerja-kerja pengukuhan parti”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman PPBM yang akan melebarkan sayapnya ke Sabah.

Jainab yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia berkata, UMNO Sabah khususnya Pergerakan Wanita kini sedang sibuk mengadakan persiapan mesyuarat cawangan-cawangan di seluruh 25 bahagian di negeri ini.

Tambahnya UMNO Sabah juga dalam proses memperkasa parti itu menerusi autonomi yang akan diberikan.

“Meskipun UMNO Sabah kini pembangkang, kita akan meneruskan perjuangan untuk membela kepentingan Anak Negeri Sabah & Bumiputera Sabah keseluruhannya “ , tegasnya.

Jainab berkata, status anak negeri itu penting kepada penduduk asal Sabah kerana anak negeri adalah bumiputera, sebaliknya bumiputera pula tidak semestinya berstatus anak negeri.

Katanya, perjuangan dalam UMNO Sabah adalah perjuangan mendaulat martabat agama bangsa dan negara dari dulu, kini dan selamanya .

“Inilah asas penting yang diperjuangkan UMNO Sabah dalam konteks memartabatkan kuasa autonomi negeri Sabah”, tambahnya.-Oleh LSK/BNN