KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah mengarahkan Pusat Kawalan Bencana Negeri untuk memantau rapat situasi banjir di Tawau, yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan banjir yang melanda banyak kawasan di daerah tersebut sejak Jumaat (24 Julai).
“Semua agensi berkaitan telah digerakkan ke kawasan yang terjejas. Saya mahu mereka bersiap sedia untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Ketua Menteri turut menasihati penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu.
Beliau berkata keadaan setakat ini adalah terkawal, sambil menambah bahawa agensi-agensi berkaitan sudah berada di lapangan bagi menghulurkan bantuan.
Jawatankuasa Bencana Alam Tawau telah mengisytiharkan kawasan bencana itu pada jam 8.30 pagi hari ini selepas beberapa kawasan perumahan di Tanjung Batu Keramat, Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Taman Sunshu, dan Taman Sri Balung dinaiki air berikutan hujan lebat sejak malam semalam.
Jawatankuasa tersebut juga dalam proses mengumpul maklumat jumlah mangsa terjejas bagi tindakan pemindahan ke pusat pemindahan sementara jika perlu.
Setakat jam 11 pagi hari ini, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau untuk 96 ketua isi rumah dan 335 orang mangsa.-pr/BNN





