KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sabah mempunyai tanggungjawab kolektif untuk mempertahankan dasar dan keputusan kerajaan serta kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Perkara itu ditegaskan Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Kinabalu di Grand InHotel, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kedudukan sebagai sebahagian daripada kerajaan menuntut setiap parti yang terlibat memikul tanggungjawab politik secara bersama.

“Apabila kita bersama dalam kerajaan, kita juga perlu bersama dalam mempertahankan kerajaan dan memastikan ia kekal stabil, berkesan serta terus mendapat keyakinan rakyat,” katanya.

Salleh berkata, BN Sabah perlu memainkan peranan yang konstruktif dalam memperkukuh Kerajaan Negeri dan menyokong usaha-usaha pembangunan serta penyelesaian isu yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata, kestabilan politik amat penting bagi Sabah kerana ia membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, katanya, kerjasama antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu terus diperkukuhkan berasaskan semangat saling menghormati dan kepentingan lebih besar untuk Sabah.

“Keutamaan kita mesti kekal kepada kestabilan kerajaan, kepentingan Sabah dan kesejahteraan rakyat,” katanya.-pr/BNN