KENINGAU: Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau, Gana, Nabai Sabah (KGNS) komited memperkukuhkan organisasi dan memperluaskan peranannya dalam memelihara warisan budaya, di samping memperkasa kebajikan serta pembangunan masyarakat etnik Kujau, Gana dan Nabai di negeri ini.

Komitmen itu dizahirkan menerusi Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) KGNS yang dipengerusikan Presidennya, Puan Petronilla Munting, di Permata Wawasan Bingkor, pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Presiden KGNS, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, bersama barisan Ahli Jawatankuasa persatuan.

Mesyuarat berkenaan membincangkan pelbagai perancangan strategik termasuk usaha memperkukuhkan pentadbiran persatuan, memperluaskan keahlian, memelihara warisan budaya etnik Kujau, Gana dan Nabai serta merancang pelaksanaan program kebajikan, pendidikan, ekonomi dan pembangunan komuniti sepanjang tahun.

Dalam ucapannya, Petronilla berkata kejayaan sesebuah persatuan bergantung kepada komitmen, kesungguhan dan semangat kerja berpasukan semua Ahli Jawatankuasa serta sokongan padu daripada seluruh ahli.

Beliau berkata setiap Ahli Jawatankuasa perlu melaksanakan amanah yang dipikul dengan penuh dedikasi, integriti dan tanggungjawab bagi memastikan segala perancangan persatuan dapat direalisasikan.

“Saya menyeru semua Ahli Jawatankuasa agar memainkan peranan dengan penuh dedikasi, amanah dan bertanggungjawab. Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan perpaduan, memelihara warisan budaya serta memastikan KGNS terus menjadi sebuah persatuan yang dihormati dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli supaya menjelaskan yuran keahlian secara konsisten kerana ia merupakan sumber kewangan utama bagi memastikan pengurusan persatuan berjalan lancar dan setiap program dapat dilaksanakan secara berterusan.

Sementara itu, Yazid berkata KGNS perlu terus bergerak seiring dengan arus pembangunan semasa tanpa mengetepikan nilai budaya, adat resam dan jati diri masyarakat etnik Kujau, Gana dan Nabai.

Menurutnya, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan ahli menjadi kekuatan utama persatuan untuk melahirkan generasi yang menghargai warisan budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Kekuatan sesebuah persatuan terletak pada perpaduan ahlinya. Dengan semangat kebersamaan, kita mampu memperkasakan masyarakat etnik Kujau, Gana dan Nabai serta melahirkan generasi yang menghargai warisan budaya di samping menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah,” katanya.

Mesyuarat itu turut mencapai persetujuan untuk memperhebat usaha menambah keahlian, menggalakkan penyertaan golongan belia dan wanita serta memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Selain itu, KGNS berhasrat memperbanyakkan program yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, khususnya dalam aspek kebajikan, pendidikan, pemerkasaan ekonomi dan pemeliharaan warisan budaya.

Pada akhir mesyuarat, KGNS merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa yang hadir serta berharap setiap keputusan yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen demi memastikan visi dan objektif persatuan terus dicapai, sekali gus memperkukuhkan peranan KGNS sebagai wadah penyatuan masyarakat etnik Kujau, Gana dan Nabai di Sabah.-pr/BNN