Kestabilan politik penting untuk menjayakan agenda pembangunan negeri dan rakyat

0
649
Hajiji (seated, fourth from right) and Sabah BERSATU leaders with the Kota Marudu BERSATU Division leaders who attended the Jelajah programme.

KOTA MARUDU: Sebagai sebuah platform politik baharu di Sabah, BERSATU Sabah membuka ruang kepada semua warga peribumi Sabah untuk bersama menganggotai dan seterusnya menggerakkan parti ini, kata Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji berucap di majlis itu.

Katanya, setakat ini, BERSATU Sabah telah tertubuh secara rasmi di kesemua 25 kawasan parlimen di Sabah termasuk Bahagian Kota Marudu yang dipimpin oleh Datuk Wetrom Bahanda selaku Ketua Bahagian.

“Manakala, BERSATU Sabah telah menubuhkan sebanyak 517 cawangan di peringkat penaja dan sedang menunggu kelulusan rasmi daripada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang dijangka akan diterima dalam masa terdekat.

“Sehubungan itu, permohonan keahlian boleh dibuat sama ada melalui kepimpinan bahagian, penggerak awal cawangan atau secara langsung secara atas talian di laman sesawang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)”, katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah peringkat bahagian Kota Marudu di sini, hari ini.

Sementara itu, BERSATU Sabah mengajak rakyat bersama memahami bahawa fokus dan keutamaan pada hari ini adalah memastikan pembangunan negeri Sabah dan kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan di bawah kepimpinan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 telah berlalu dan majoriti rakyat telah memilih untuk membuat perubahan. Perkara yang seharusnya menjadi keutamaan dan fokus pasca PRU adalah pembangunan negeri dan rakyatnya.

“Manakala, tahap kejayaan agenda pembangunan pula akan bergantung kepada suasana dan lanskap politik.”

“Atas sebab itu, kestabilan politik adalah amat penting dan menjadi teras kepada sejauh mana kita berjaya melaksanakan agenda pembangunan negeri dan rakyat. ”

“Dasar dan program kerajaan yang berorientasikan kepentingan negeri dan rakyat tidak akan dapat berjalan lancar sekiranya tidak wujud kestabilan politik”, tegasnya.

Pada masa yang sama, menurut beliau, kestabilan politik pula, antara lain, bergantung kepada kesediaan dan keterbukaan kita untuk menggerakkan kerjasama politik dan sekali gus memantapkan perpaduan rakyat.

“Atas kesedaran itu, dan demi kepentingan rakyat, BERSATU Sabah sentiasa terbuka untuk merapatkan lagi kerjasama politik dengan semua pihak, khususnya semua komponen dalam Kerajaan PH-Warisan di negeri Sabah.

“BERSATU Sabah akan sentiasa bersama dalam menjayakan dasar dan program untuk kepentingan negeri dan rakyat secara keseluruhannya”, tegasnya.-pr/BNN