Bersatu Kota Kinabalu Mengadakan Jelajah Bulan Oktober

0
206
Kenangan....Faisyal (duduk lima kiri) bersama Bahrin (duduk empat kanan) dan Faizal (duduk empat kiri) bersama-sama dengan ahli jawatankuasa Bersatu bahagian Kota Kinabalu selepas mempengerusikan Mesyuarat ahli jawatankuasa Bersatu bahagian Kota Kinabalu Bil 2/2019 di Pejabat Bersatu Kota Kinabalu, Wisma Yakin semalam.

KOTA KINABALU:Bersatu bahagian Kota Kinabalu dijangka akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan Bersatu Sabah pada bulan Oktober depan.

Ketua Penaja Bersatu bahagian Kota Kinabalu, Datuk Faisyal Yusuf Hamdain Diego berkata semua kepimpinan Bersatu bahagian bersama dengan Srikandi Bersatu bahagian dan Armada Bersatu bahagian akan bertemu dengan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dengan lebih dekat lagi.

Beliau berkata pertemuan itu penting kerana pihak pimpinan negeri akan menerangkan tujuan sebenar Bersatu Sabah berada di Sabah.

“Pendekatan berkenaan juga bermatlamat untuk membuka ruang kepada masyarakat memahami agenda perjuangan Bersatu Sabah dan seterusnya menggalakkan lebih ramai warga Sabah khususnya generasi muda menyertai Bersatu sebagai sebuah wadah politik baharu di Sabah.

“Bersatu Kota Kinabalu mendapat respon luar biasa melalui permohonan pelbagai pihak untuk menaja cawangan, namun pertimbangan perlu dibuat berdasarkan kepada peruntukan perlembagaan parti yang menetapkan penubuhan cawangan mengikut daerah mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat ahli jawatankuasa Bersatu bahagian Kota Kinabalu Bil 2/2019 di Pejabat Bersatu Kota Kinabalu, Wisma Yakn semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Penaja Bersatu bahagian Kota Kinabalu, Mohammad Bahrin Abd Karim, Naib Ketua Penaja bahagian, Mohd Faizal Datuk Saidi, Ketua Penerangan, Datuk Ruhsimah Zakaria, Timbalan Ketua Penaja Srikandi, Dr Siti Fatmah Suahid, Setiausaha bahagian, Johann Datuk Diego serta ahli jawatankuasa bahagian Kota Kinabalu.

Faisyal yang juga Pengerusi Zon 1 berkata BERSATU Kota Kinabalu menumpukan dua perkara iaitu mengukuh dan melengkapkan pentadbiran parti sehingga ke peringkat akar umbi serta menggerakkan jentera parti di semua peringkat sebagai mekanisme sokongan dalam pelaksanaan dasar dan program kerajaan, khususnya berkaitan kepentingan kaum pribumi.

“Selaku Pengerusi Zon 1, saya sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Pada masa ini badan pimpinan Bersatu Sabah sedang mengadakan jelajah ke zon-zon, dan Zon 1 dijangka pada bulan Oktober depan,” katanya.

Jelas Faisyal satu elemen yang penting ialah kita perlu terus memperkasa gerak kerja memberi penerangan kepada kumpulan sasaran. Segala dasar dan perancangan parti perlu diketahui oleh ahli akar umbi. Ini bagi membolehkan parti melaksanakan komunikasi bersepadu kepada kumpulan sasar menerusi teknologi maklumat. Ahli-ahli Bersatu perlu bergerak aktif dalam menyebarluas maklumat dan menangkis setiap tohmahan.

Sementara itu Faisyal turut mengulas umur mengundi pada pilihan raya yang diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun akan memberi peluang kepada generasi muda untuk sama-sama menentukan masa hadapan negara.

Tambah beliau selain itu ia juga selari dengan amalan demokrasi di negara lain yang menetapkan umur pemilih pada 18 tahun. Hak untuk mengundi wajar diberi kepada mereka yang sudah berumur 18 tahun dan ia mengiktiraf peranan mereka untuk negara dan negeri Sabah.-pr/BNN