KOTA KINABALU: Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu (Konduan Tobilung) dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Langkon menjalin kerjasama strategik dengan Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. bagi memperkasa golongan wanita menerusi keusahawanan, pembangunan kemahiran dan pemeliharaan warisan budaya.

Kerjasama itu dibincangkan dalam kunjungan hormat kedua-dua pertubuhan berkenaan kepada Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Redonah Bahanda. Rombongan Persatuan Wanita Tobilung diketuai Pengerusinya, Rusiah Salintap, manakala SAANS Langkon diketuai Pengetuanya, Timis Sambadi.

Redonah berkata, Sedcovest komited membantu melahirkan lebih ramai usahawan wanita melalui pelbagai kursus, latihan kemahiran, bimbingan perniagaan dan program pembangunan kapasiti bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat, khususnya di luar bandar.

“Wanita mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga dan negeri. Justeru, mereka perlu diberi peluang, pendedahan serta latihan berterusan agar mampu mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau turut menyambut baik cadangan menganjurkan program latihan keusahawanan, pembangunan produk tempatan serta inisiatif memelihara warisan budaya etnik Tobilung, yang disifatkan mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

Sementara itu, Rusiah dan Timis merakamkan penghargaan kepada Redonah atas kesediaan menjalin kerjasama, sambil berharap inisiatif berkenaan dapat direalisasikan melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada wanita serta komuniti di Sabah.-pr/BNN