KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyambut baik ketegasan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, supaya isu keperluan rakyat yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi perhatian dan diselesaikan segera menerusi pelaksanaan projek kecil berimpak tinggi atau low-hanging fruits.

Beliau berkata, pendekatan itu tepat pada masanya kerana kebanyakan isu yang dibangkitkan membabitkan keperluan asas rakyat termasuk bekalan air dan elektrik, jalan raya, sistem saliran, banjir, pendidikan serta kemudahan awam.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan mampu memberikan penyelesaian lebih pantas terhadap masalah yang sekian lama dihadapi rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan peringkat akar umbi.

“Ini mencerminkan bahawa Ketua Menteri memahami denyutan dan keperluan rakyat. Apa yang rakyat mahukan ialah masalah mereka diselesaikan, bukan sekadar dibincangkan.

“Pelaksanaan projek low-hanging fruits adalah pendekatan pragmatik kerana ia boleh dilaksanakan lebih cepat dengan kos lebih rendah, tetapi memberikan manfaat nyata dan segera kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yazid berkata, pendekatan itu bagaimanapun tidak bermakna projek berskala besar diketepikan, sebaliknya kedua-duanya perlu dilaksanakan secara seimbang mengikut keutamaan dan keperluan semasa.

Katanya, projek mega penting sebagai pemacu pembangunan jangka panjang Sabah, manakala projek low-hanging fruits boleh menjadi ‘quick wins’ yang memberi kesan segera kepada kehidupan rakyat, terutama dalam aspek kemudahan asas dan infrastruktur.

Beliau turut menyambut baik arahan Ketua Menteri supaya kementerian, jabatan dan agensi pelaksana memperkukuh kerjasama, komunikasi serta penyelarasan bagi memastikan projek yang dikenal pasti dapat dilaksanakan dengan cekap dan mengikut jadual.

“Rakyat sudah lama menantikan penyelesaian kepada pelbagai masalah asas. Justeru, setiap projek yang dikenal pasti perlu dipercepatkan dan jangan dibiarkan tertangguh kerana kelewatan akhirnya akan menjejaskan rakyat,” katanya.

Yazid berkata, pendekatan menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi juga selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan semangat Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, pembangunan inklusif serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih berkesan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, kementerian, jabatan, agensi pelaksana dan masyarakat dapat diperkukuh supaya agenda pembangunan Sabah dapat diteruskan secara konsisten dan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.

Katanya, kestabilan pentadbiran dan sokongan semua pihak penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, infrastruktur serta peningkatan kualiti hidup rakyat tanpa mengira kawasan dan latar belakang.

“Kita mahu Sabah terus maju, rakyat terus sejahtera dan pembangunan sampai ke akar umbi. Selagi kepentingan rakyat menjadi keutamaan, kita harus bersama-sama menyokong usaha yang membawa manfaat kepada negeri dan generasi akan datang,” katanya.-pr/BNN